Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Seramai 59 pemain berusia 13 tahun yang menjadi harapan negara untuk melayakkan diri ke Piala Dunia Remaja 2019 Bawah 17 (B-17) bakal menjadi pemain ‘import’ kepada pasukan negeri apabila Liga Kebangsaan B-13 bermula Mac ini.

Kesemua pemain yang dipilih menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) tahun lalu kini menjalani latihan di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dan bakal diagihkan menerusi undian untuk mewakili pasukan dalam liga buat kali pertama.

“Ini kumpulan pertama pemain yang dipilih menerusi PPBN dan kami bercadang menghantar mereka mewakili pasukan negeri bagi kejohanan Liga Kebangsaan. Pemilihan pemain ke pasukan negeri akan dibuat menerusi sistem draf (undian) kerana kami tidak akan menghantar pemain mengikut negeri asal mereka.

“Ini kerana mungkin ada negeri yang mempunyai tujuh atau lapan pemain dalam program PPBN ini dan kami tidak mahu peluang pemain lain di negeri itu tertutup. Kami mengagih pemain dengan adil bagi memastikan semua pemain mendapat peluang beraksi.

“Menerusi sistem draf ini, pasukan negeri akan membuat cabutan undi untuk memilih pemain,” kata Pengarah Kanan Unit Sokongan PPBN Safirul Azli Abu Bakar kepada Arena Metro semalam.

Menurut Safirul, pihaknya mempunyai alasan tersendiri untuk tidak menghantar pasukan bertanding dalam liga itu sebaliknya menghantar pemain ke luar.

“Sebelum ini sekolah sukan akan menghantar satu pasukan untuk bertanding, tapi apabila jurulatih pasukan diberikan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) kena menang, beliau akan meletakkan kesebelasan utama terbaik sepanjang masa dan peluang pemain lain agak terhad. Kali ini kami mahu menukar konsep itu,” katanya.

PPBN yang dilancar April tahun lalu berjaya menganjurkan 12,000 perlawanan baru untuk peringkat umur 10 hingga 16 tahun. Seramai 3,600 remaja berlatih di 30 Akademi Tunas serta 5,000 remaja di 50 pusat latihan di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 January 2015 @ 7:39 AM