Oleh Mohd Rizal Abdullah

Serdang: Sebuah kondominium di pusat bandar Puchong yang dijadikan makmal pemprosean dadah bernilai RM2.8 juta diserbu polis, 23 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razimi Ahmad berkata, seorang lelaki warga tempatan berumur 43 tahun dan wanita warga asing berumur 30 tahun yang berada di kondominium itu ditahan.

Menurutnya, selain pekakas pemprosesan dadah, pihaknya turut menjumpai 25 paket plastik mengandungi kristal syabu dan cecair dadah jenis meth seberat 35,119 gram dan 19 biji pil dipercayai dadah jenis YABA.

"Selain itu, enam butir peluru yang disorokkan dalam kotak rokok turut dijumpai," katanya semasa sidang media Ibu Pejabat Polis (IPD) Serdang tadi.

Katanya, dadah terbabit dipercayai akan dipasarkan ke luar negara.

"Polis masih melakukan siasatan bagi mengesan saki baki mereka yang terbabit dalam kegiatan ini," katanya.

Kes disiasat mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Suspek yang ditahan direman selama enam hari sehingga 29 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 5:17 PM