Pengembaraan jadi lebih mudah tanpa perlu gusar memikirkan hal penginapan dengan penggunaan aplikasi Airbnb bagi mereka yang gemar melancong ke negara asing.

Bagi Suriana Osman, 26, yang suka melancong bersama teman, aplikasi berkenaan memudahkannya untuk merancang percutian dengan lebih teratur.

"Bagi saya, aplikasi ini mesra pengguna dan boleh digunakan sebaik saja mendaftarkan diri menggunakan e-mel mahupun Facebook.

"Menggunakan carian berdasarkan destinasi ditujui, aplikasi akan menyenaraikan tempat pe­nginapan mengikut bajet pengguna.

"Aplikasi ini juga memboleh­kan pengguna menghantar mesej kepada pemilik ruang kediaman yang ditawarkan.

"Malah, pengguna juga boleh mendapatkan pandangan pelanggan terdahulu berdasarkan 'rating' diberi terhadap lokasi berkenaan," kata kakitangan kerajaan itu.

Pengguna turut berpeluang menggunakan tetapan 'favourite' pada beberapa premis yang dirasakan sesuai dengan bajet dan lokasi masing-masing, sebelum memilih yang terbaik.

Selain itu, pengguna boleh menyaring pilihan yang ditawarkan dengan memasukkan tarikh pe­nginapan, bilangan tetamu, jenis penginapan diperlukan, bajet serta kemudahan lain seperti Wi-Fi, penyaman udara dan dapur.

Aplikasi yang disenaraikan sebagai Editors' Choice ini juga me­nyediakan lebih 450, 000 tempat penginapan di 34, 000 bandar seluruh dunia.

Pengguna juga boleh menempah ruang penginapan secara terus menerusi telefon pintar mereka.

Aplikasi ini bukan saja memberi manfaat kepada pelancong, bahkan kepada pemilik ruang penginapan dapat menjana pendapatan menerusi penyewaan rumah mahupun bilik mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 January 2015 @ 6:01 AM