SALAM (kiri) cuba merampas bola daripada pemain Iran, Sardar Azmoun.
SALAM (kiri) cuba merampas bola daripada pemain Iran, Sardar Azmoun.

Canberra: Salam Shakir membawa Iraq ke separuh akhir Piala Asia apabila mengejutkan Iran yang beraksi 10 pemain menerusi kemenangan penentuan penalti 7-6 saingan penuh drama membabitkan dua musuh ketat itu, semalam.

Dalam aksi sensasi suku akhir di Stadium Canberra, kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi 90 minit sebelum Iran bangkit dua kali pada masa tambahan untuk mengikat kedudukan 3-3 dan memaksa penalti.

Iran kehilangan Mehrdad Pooladi yang dilayang kad kuning kedua pada lewat separuh masa pertama sekali gus mengundang reaksi berang jurulatih Carlos Queiroz.

Tetapi segala kebangkitan mereka bagaikan sia-sia apabila sepakan Vahid Amiry terkena tiang ketika mengambil sepakan penalti ke-15 sebelum Salam dengan tenang menjaringkan gol kemenangan untuk juara 2007 itu.

Iraq kini mara ke separuh akhir untuk bertemu Korea Selatan, manakala juara tiga kali Iran kecewa kerana kempen memberangsangkan mereka kini berakhir.

“Anda boleh bayangkan bagaimana saya rasa. Tapi saya tidak boleh melahirkannya kerana jika saya berkata apa yang saya rasa dan memberitahu yang benar mengenai apa yang orang sudah lihat berlaku dalam perlawanan itu, saya mungkin dihukum,” kata Queiroz.

“Apapun saya bangga dengan cara pemain saya berjuang, mereka berada dalam hati saya dan berhak dihormati.”

Jurulatih Iraq Radhi Shenaishil berkata, sukar buat pasukannya kembali cergas untuk aksi separuh akhir Isnin ini, tetapi menegaskan pasukannya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meraih kejuaraan kedua.

“Kami mempunyai kurang sehari untuk bersedia berbanding Korea Selatan. Kami kini memberi tumpuan untuk cergas sepenuhnya sebelum perlawanan itu,” kata Radhi yang dipinjamkan untuk mengendalikan skuad Piala Asia daripada Qatar Sports Club.

“Tapi di separuh akhir, apa saja boleh berlaku dan semua empat pasukan kini mempunyai peluang sama untuk menjulang trofi.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 5:14 AM