Oleh Mohamad Hussin


Alor Setar: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan membuka kaunter tiket bagi perlawanan separuh akhir antara Kedah menentang Pahang di Stadium Darul Aman, mulai jam 10 pagi esok.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu KFA Arazmi Abidin berkata, pihaknya akan membuka kaunter tiket di stadium berkenaan bagi membolehkan peminat bola sepak mendapatkan tiket.

Beliau berkata, tiga kaunter itu membabitkan kaunter A2, T2 dan B3 dan mereka boleh mendapatkan tiket mulai waktu ditetapkan.

“Setiap seorang hanya dibenarkan membeli lima tiket. Ia berdasarkan siapa cepat dia dapat. Selagi ada tiket, kita akan jual sampai waktu perlawanan jam 8 malam.

“Kami memperuntukkan sebanyak 26,000 tiket buat penyokong Kedah manakala 1,000 tiket, Pahang,” katanya yang dihubungi, semalam.

Arazmi yang juga Ahli Eksekutif KFA berkata, beliau menasihatkan penyokong supaya membeli tiket di kaunter yang sah bagi mengelak penipuan.

Tiket berharga RM10 (teres), RM12 (berbumbung) dan RM15 (astaka utama).

“Kami juga ingin nasihatkan peminat supaya berdisiplin dan tidak melakukan sebarang perkara yang boleh mencemarkan nama baik Kedah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:07 AM