PERMANDANGAN gunung Rinjani dari kawasan savana.
PERMANDANGAN gunung Rinjani dari kawasan savana.
AIR terjun Sindang Gila yang berada di kaki Gunung Rinjani.
AIR terjun Sindang Gila yang berada di kaki Gunung Rinjani.
DI puncak Gunung Rinjani.
DI puncak Gunung Rinjani.
PENULIS bergambar di 7 bukit penyesalan.
PENULIS bergambar di 7 bukit penyesalan.
Oleh Asyraf Adnan

Umpama mimpi jadi realiti apabila mendapat peluang 'mendakap' antara gunung berapi tercantik di dunia iaitu Gunung Rinjani.

Sebelum berangkat ke Pulau Lombok, Indonesia untuk mengapai puncak setinggi 3,726 meter itu, keterujaan menakluk gunung berapi tercantik itu membuak-buak dek melihat kepingan gambar dengan panorama indah milik rakan yang pernah menjejakkan kaki ke gunung berapi hidup itu.

Pemandangan yang luar biasa pada gambar dilihat membuatkan hati turut berkobar-kobar berada di puncak indah ciptaan Tuhan yang Maha Esa.

Bersama saya menyertai kembara tiga hari dua malam ialah 21 pendaki dengan dibantu tujuh 'porter' serta penunjuk arah bernama Bapak Stuk.

Matahari bersinar melimpahkan cahaya emasnya di padang savana di kaki Gunung Rinjani apabila saya dan pendaki lain memulakan ekspedisi di pintu masuk Desa Sembalun Lawang seawal jam 7 pagi.

Tiga jam menapak, kami tiba di Pos 2-Tengengean pada ketinggian 1,500 meter. Kami berhenti berehat makan tengah hari yang dimasak porter. Nasi putih, tempe dan sayur pecal menggantikan sumber tenaga yang hilang tadi.

Dalam sedar tak sedar, saya tidak meninggalkan sebutir nasi pun dalam pinggan kerana kelaparan.

Sewaktu menjamu selera di Pos 2, Bapak Stuk memberi 'amaran' kami bakal melalui tujuh 'bukit penyesalan.' Saya tertanya-tanya apa maksud di sebalik peringatan itu.

Persoalan mulai terungkai apabila empat jam setengah mengerah tenaga, saya berjaya menempuh tujuh bukit yang bukan calang-calang untuk ditawan, namun bagi saya tiada kesalan di hati, sebaliknya hanya keterujaan bermain di minda.

Apabila tiba di Plawangan 2 pada ketinggian 2,639 meter, teh panas menanti untuk dihirup buat menghangatkan diri yang semakin diselimuti kesejukan.

Menghirup teh asli Lombok sambil menyaksikan tenggelamnya sang suria di sebalik pemandangan Danau Segara Anak sesungguhnya amat mengasyikkan.

Di khemah pangkalan inilah kami akan bermalam sebelum meneruskan pendakian ke puncak.

Jam 2 pagi kami bangkit. Perbezaan jarak di antara kami dan ubun Gunung Rinjani ialah 1,087 meter-satu kilometer saja, tetapi dengan keadaan jalan pacak yang vertikal dan pasir longgar yang 'menelan' kaki hingga ke buku lali terasa macam 10 kilometer.

Ditemani ribuan bintang berkerlipan dan berbekalkan cahaya lampu suluh, penulis mengorak langkah dengan azam yang jitu untuk sampai ke puncak.

Tepat jam 6.15 pagi, saya menjejakkan kaki di puncak sekali gus menakluki gunung dengan ketinggian 3726 meter dari paras laut.

Angin kencang dan suhu 4 darjah Celcius tidak menggugat semangat penulis berada lebih lama di puncak sementara menunggu rakan lain.

Penulis sempat menjamah biskut yang dibawa untuk mengembalikan tenaga ketika turun ke khemah pangkalan di Plawangan 2.

Selepas santapan tengah hari dan solat Zuhur, kami meneruskan perjalanan turun dan sekali lagi melalui tujuh bukit penyesalan. Sejurus tiba di Pos 2, kami berehat dan bermalam di situ.

Esoknya saat sang mentari bangun, kami terpaksa meninggalkan Gunung Rinjani melalui pintu Sembalun Lawang walaupun hati dan kaki terasa berat.

Ekspedisi kami tidak berakhir di situ sebaliknya kami bertandang ke air terjun Sindang Gila. Keajaiban setinggi 30 meter itu disifatkan tempat 'bidadari mandi ketika turun ke bumi' oleh penduduk tempatan.

Kedinginan air terjun Sindang Gila nyata cukup menyegarkan dan membawa bersama segala keletihan yang dirasai sepanjang pendakian.

Walaupun, pendakian kami ini cukup singkat, ia cukup memberikan kepuasan kepada penulis dengan panorama indah yang disajikan.

Pengalaman menempuhi segala kesukaran untuk menakluki gunung berapi hidup yang cukup indah ini juga adalah kenangan manis yang pasti kekal di dalam ingatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 5:02 AM