Oleh Norul Awatif Romli


Alor Setar: Seorang pegawai bomba dan penyelamat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, sebentar tadi atas dua pertuduhan dan satu pertuduhan pilihan kerana meminta rasuah sebanyak RM10,000 dan menerimanya sebanyak RM2,000 selain melakukan penipuan tiga tahun lalu.

Tertuduh Yaakob Hassan, 47, bertugas sebagai Ketua Bomba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi bagaimanapun minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah didepan Hakim Azhar Mokhtar.

Mengikut kertas pertuduhan, Yaakob didakwa melakulan kesalahan itu pada 13 dan 14 Oktober 2012 di Bilik Ketua BBP Langkawi di mana tempat beliau bertugas.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta rasuah daripada seorang lelaki dikenali Jamat Harun bagi menutup siasatan polis terhadap anaknya Mohd Shafiq Affandi.

Dalam pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menerima sejumlah wang daripada Ahmad Ridzwan Jamat sebagai imbuhan menutup siasatan polis terhadap ahli keluarganya.

Bagi kedua-dua kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencehahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tertuduh juga didakwa dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana memperdaya Ahmad Ridzwan untuk mempercayainya bagi menutup siasatan polis terhadap ahli keluarganya.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM A. Hafiizh Abu Bakar dan tertuduh diwakili peguam Parmjit Singh, manakala hakim menetapkan 26 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 10:52 AM