Kelana Jaya: Nasib Datuk Ong Kim Swee sama ada terus kekal mengendalikan Harimau Muda A atau kontraknya berakhir lebih awal untuk menyertai pasukan lain diketahui Jumaat ini selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Spekulasi semakin kuat apabila pengendali itu dilapor sudah tidak berminat meneruskan kontrak hingga Disember apabila FAM menyerahkan tugas membimbing skuad bawah 22 tahun (B-22) ke Kejohanan Kelayakan AFC B-23 Mac ini kepada jurulatih Harimau Muda B Razip Ismail manakala beliau dilantik pencari bakat sebelum misi Sukan SEA Singapura bermula Jun.

Dalam laporan Arena Metro sebelum ini, sumber rapat dengan pengendali itu mengesahkan pasukan Liga Perdana Sabah dikatakan berminat mendapatkan khidmat Kim Swee dengan tebus kontrak kira-kira RM500,000.

Namun Tengku Abdullah yang hadir mempengerusi Mesyuarat Exco khas semalam tidak mahu membuat keputusan terburu-buru sebaliknya mahu mendapatkan penjelasan jurulatih berusia 44 tahun itu yang membawa skuad negara memenangi pingat emas Sukan SEA Jakarta 2011.

Ketika ditanya mengenai pendirian FAM mengenai kedudukan Kim Swee, beliau berkata: “Boleh tanya soalan ini pada 23 Januari (Jumaat ini). Saya kena jumpa dia dulu, saya baru balik dari Australia semalam. Bagi saya masa untuk berjumpa dengan dia dulu.”

Menurutnya, dalam Mesyuarat Exco itu, mereka hanya berbincang mengenai kerjasama FAM dengan syarikat MP & Silva menerusi penubuhan Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia (FMLLP) bagi menjana pendapatan RM1.26 bilion dalam tempoh 15 tahun bermula tahun depan dan langsung tidak menyentuh kes Kim Swee.

Setakat ini Sabah yang dikatakan sedia membuka pintu kepada Kim Swee selepas pihak pengurusan pasukan itu memecat pengurus pasukan dan Pengarah Teknikal George O’Callghan hanya menunggu kes itu selesai sebelum membuat sebarang perbincangan rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 6:58 AM