BANGUNAN Adya Hotel Langkawi tersergam indah di pekan Kuah.
BANGUNAN Adya Hotel Langkawi tersergam indah di pekan Kuah.
Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Pulau Langkawi kini memiliki lokasi penginapan terbaru apabila Hotel Adya yang terletak di Pekan Kuah, di sini, memulakan operasi bermula kelmarin dengan menampilkan konsep Islamik, sekali gus dijangka mampu merancakkan lagi aktiviti pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2015.

Hotel bertaraf empat bintang setinggi 14 tingkat yang dibangunkan Permodalan Kedah Berhad (PKB) dengan kos kira-kira RM53 juta itu kini menjadi sebutan ramai berikutan memiliki reka bentuk yang menarik.

Difahamkan, nama Adya bermaksud yang pertama dalam bahasa Sanskrit dipilih oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kerana ia adalah hotel pertama milik PKB apabila menceburi bidang perhotelan sekali gus mampu menarik tumpuan pelancong dan memberi pulangan berbaloi.

Pengurus Besar Hotel Adya, Razmi Rahmat berkata, hotel berkenaan yang dibangunkan di atas tanah seluas 0.8 hektar menawarkan kira-kira 207 bilik dengan kedudukan strategik di tengah Pekan Kuah, sekali gus memudahkan orang ramai untuk melakukan aktiviti masing-masing.

Menurutnya, pembukaan hotel berkenaan juga selari dengan usaha kerajaan untuk mempromosi dan menggalakkan pelancongan di pulau legenda itu.

“Saya amat berharap hotel ini yang membudayakan ciri-ciri Islam dapat memberi impak positif dan muncul sebagai antara penyumbang utama kepada industri pelancongan sedia ada di pulau bebas cukai ini.

“Justeru, kami memberi fokus kepada penyediaan makanan yang suci dan halal dengan semua kakitangan wanita diwajibkan berpakaian menutup aurat selain menawarkan kolam renang berasingan bagi lelaki dan wanita,” katanya ketika ditemui, semalam.

Beliau berkata, Hotel Adya menawarkan lapan jenis bilik iaitu Superior Town View, Deluxe Sea View, Executive, Family Town View, Family Sea View, Junior Suite, Premier Suite dan Perdana Suite.

“Berbekalkan lebih 130 kakitangan yang hampir 100 peratus adalah anak tempatan, kami berbangga kerana tempahan bilik kini mencecah 80 peratus walaupun operasi baru bermula.

“Hotel ini mampu diduduki semua golongan dan sentiasa memenuhi kehendak agensi kerajaan dan swasta bagi menganjurkan pelbagai kursus mahupun seminar menjangkau ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Grand Ballroom hotel ini boleh memuatkan 450 tetamu pada satu masa, selain lima bilik mesyuarat tambahan yang dilengkapi sistem audio dan multimedia terkini.

Katanya, setiap bilik hotel pula dilengkapi kemudahan bercirikan konsep moden termasuk WiFi serta televisyen LCD dengan penyambungan ke saluran pilihan tempatan dan antarabangsa.

“Kita menawarkan kadar sewa bilik berpatutan dan ini bergantung kepada bilik yang diingini oleh tetamu, selain menyediakan lebih 100 peluang pekerjaan kepada lepasan sekolah,” katanya.

Dalam tempoh promosi bermula kelmarin, hotel yang diuruskan PKB Hotel Management & Service Sdn Bhd itu menawarkan harga bilik serendah RM199.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:02 AM