TATA Motors Limited memperuntukkan sekurang-kurangnya AS$250 juta (RM875 juta) setahun untuk melaksanakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memantapkan produk kenderaan komersialnya.

Pengarah Eksekutif Kenderaan Komersialnya, Ravi Pisharody berkata, jumlah terbabit adalah bersamaan dengan 3.0 hingga 4.0 peratus daripada pendapatan syarikat yang merupakan antara pengeluar kenderaan terkemuka di India.

Katanya, TATA Motors sangat komited untuk menghasilkan kenderaan yang dapat memenuhi kehendak dan keperluan pelanggan.

“Ini secara tidak langsung dapat membantu kami untuk menawarkan kenderaan yang berkualiti dan kompetatif agar dapat bersaing untuk pasaran antarabangsa dan India sendiri.

“R&D penting dalam usaha kita menghasilkan kenderaan generasi baharu dengan menitikberatkan rekaan sempurna dan lebih menarik tanpa mengetepikan aspek ketahanan dan kelasakan yang menjadi sandaran kita selama ini,” katanya semasa lawatan media ke Ibu Pejabat TATA Motors, semalam.

Pisharody berkata, tujuan utama menghasilkan R&D adalah untuk mewujudkan generasi baru bagi TATA Motors agar mampu bersaing dengan jenama lain dari Eropah, Amerika Syarikat mahupun Jepun.

Perkara ini amat penting kerana dulu TATA Motors hanya melihat kepada pasaran India dalam penghasilan kenderaan komersial.

Bagi mengukuhkan pasaran antarabangsa, TATA Motors perlu melihat lebih jauh agar kenderaan yang dihasilkan setanding dari pelbagai aspek.

Menurutnya, TATA Motors mempunyai sebanyak enam kilang pengeluaran kenderaan pelbagai segmen di India yang dilengkapi pusat R&D, pusat ujian kualiti kenderaan, pusat latihan industri, penempatan komuniti, dan kemudahan infrastruktur lain untuk kakitangan serta penduduk sekitarnya.

Pisharody berkata, pihaknya juga mempunyai kilang TATA Motors di Indonesia dan Thailand untuk memenuhi permintaan pasaran negara ASEAN dan Australia pada setahun kebelakangan ini dan akan terus berusaha mengukuhkan kehadirannya di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 6:06 AM