BILIK urut untuk pelanggan.
BILIK urut untuk pelanggan.
Oleh Siti Zarinah Sahib


Selain kesan rawatan di sesebuah pusat kecantikan, dekorasi mendamaikan serta keselesaan menjadi pilihan utama wanita untuk mendapatkan rawatan di spa. Ruang menunggu yang bersih serta kemas membuatkan pelanggan berasa tenang lantas ingin mendapatkan rawatan buat kali kedua.

Bagi Pengurus Anjung Jelita Spa & Beauty Centre Bella Manaf, walaupun langsung tiada pengalaman dalam bidang kecantikan, dia meletakkan dirinya sebagai pelanggan yang menjadikan keselesaan sebagai faktor utama.

Untuk itu, spa yang pada mulanya diusahakan bersama rakan karib ini memberi tumpuan kepada keselesaan serta dekorasi mendamaikan bagi menarik perhatian pelanggan. Berkonsepkan moden kontemporari, pelanggan yang baru kali pertama bertandang ke sini pasti leka menyaksikan aliran air yang mencecah batu-bata pada bahagian ruang tamu lantas memberikan kedamaian kepada mereka. Berjalan ke bahagian belakang, beberapa bilik menempatkan rawatan untuk pelanggan dihias indah.

"Selesa bermaksud ruang yang luas serta persekitaran mendamaikan seperti di rumah antara faktor yang menjadikan sesebuah spa menjadi pilihan pelanggan," katanya memulakan bicara.

Menceburi bidang kecantikan secara tidak sengaja, jelas Bella, selepas menamatkan pengajian dalam jurusan Sains Perubatan Biologi pada 2004, dia bersetuju berkongsi perniagaan ini bersama rakan baiknya. Oleh kerana langsung tidak mempunyai pengalaman, Bella menambah ilmu de­ngan mengambil kursus di Pusat Giat Mara bagi mendalami bidang kecantikan secara lebih mendalam.

"Selepas menamatkan kursus sedikit demi sedikit, saya mula jatuh cinta dan berasakan inilah bidang yang akan saya ceburi," katanya.

Spa berkonsepkan moden kontemporari dan dikhaskan untuk wanita sahaja menyediakan perkhidmatan rawatan badan dan wajah serta untuk bakal pengantin pada harga sangat berpatutan. Sebagai wanita, Bella memahami tidak semua kaum hawa mampu mendapatkan rawatan pada harga yang mahal setiap bulan.

Menyedari kebanyakan wanita inginkan rawatan bersifat tradisi, Bella me­nyediakan perkhidmatan tradisional urutan badan tanpa menggunakan mesin. Kebanyakan pelanggan adalah wanita berkerjaya yang sentiasa sibuk dan sering dilanda tekanan.

"Tekanan di tempat kerja dan di rumah me­nyebabkan mereka memerlukan ruang untuk memanjakan diri. Oleh itu, urutan aromaterapi mampu memberikan ketena­ngan kepada mereka. De­ngan mencari titik tumpu pada badan, menggunakan minyak aromaterapi bukan saja melancarkan perjalanan darah, tetapi memberi keselesaan kepada mereka.

"Berbeza sekiranya urutan menggunakan mesin, ia tidak mampu sampai sehingga ke bahagian urat yang tegang. Sentuhan kulit ke kulit dapat me­ngalirkan haba badan seterusnya memberikan kesan yang lebih kepada wanita," katanya.

Menariknya, sebagai pelajar jurusan biologi Bella mempunyai kemahiran menghasil­kan campuran bahan untuk minyak urut­nya sendiri. Antara­nya dengan menggabung­kan minyak zaitun, pati cili, madu dan vitamin E menjadikan kulit lebih lembut selepas diurut. Khasiat madu misalnya mampu menjadikan kulit lebih halus, begitu juga dengan pati cili yang membantu membakar lemak pada badan.

Selain minyak urut, Bella turut menghasilkan ramuan untuk bahan pe­nyental dan pupur yang turut menggunakan bahan semula jadi dan organik.

"Saya turut me­ngajar pelanggan cara menghasil­kan bahan penyental dan pupur sendiri yang boleh dihasilkan di rumah. Antaranya kopi yang dicampur lemon bagi melicinkan kulit serta pati mawar yang memberi kesegaran dan haruman mendamaikan pada tubuh," ujar­nya.

Sama seperti rawatan wajah yang tidak menggunakan mesin, begitu juga untuk badan hanya menggunakan tangan semata-mata.

Jelas Bella, disebabkan pada bahagian tertentu lemak akan menyebabkan kesan keras pada badan, jadi urutan menggunakan ta­ngan paling sesuai. Sentuhan pada bahagian urat akan melancarkan perjalanan darah seterusnya memberikan kelegaan pada badan.

"Pelanggan juga boleh memilih sama ada inginkan teknik yang keras, sederhana atau sedikit lembut untuk badan mereka. Ini membantu ahli terapi melakukan pengubahsuaian mengikut keselesaan pelanggan," kata Bella.

Urutan terbaik dilakukan selama satu jam dan berfungsi memecahkan lemak dan selulit. Selepas diurut, biasanya penyental membantu melicinkan kulit dan membuang semua kotoran pada badan.

Selain urutan badan, rawatan wajah meng­gunakan produk dari Perancis membantu me­ngembalikan keserian dan keanjalan kulit.

Bagi mereka yang ingin mendapat­kan maklumat lanjut boleh melayari laman sosial Facebook anjungjelita atau www.anjungjelita.com.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 5:01 AM