Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Setiap ibu bapa mahupun penjaga memainkan peranan penting dalam menentukan tahap kesihatan anak mereka terutama melalui penyediaan makanan berkhasiat. Ini kerana aspek pemakanan satu perkara asas dalam menentukan tahap kesihatan selain menjamin tumbesaran sihat.

Penyediaan makanan berkhasiat sesuai dengan tahap usia anak tidak boleh dipandang remeh kerana hakikatnya, semua kanak-kanak mampu membesar dengan baik melalui pengambilan pemakanan yang sihat dan seimbang.

Walaupun kebanyakan ibu bapa kini sentiasa sibuk dengan tuntutan tugas masing-masing, aspek penyediaan makanan sihat kepada anak perlu dijadikan keutamaan.

Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd Dr Zubaidi Ahmad berkata, masakan yang disediakan di rumah kebiasaannya mengandungi khasiat yang diperlukan kanak-kanak terutama makanan disediakan sendiri ibunya selain tidak mengandungi bahan berbahaya.

Ibu yang menyediakan sendiri masakan di rumah juga mengelak daripada mencampurkan sebarang bahan penambah rasa secara berlebihan selain mengekalkan kebersihan dan kesegaran bahan masakan antaranya sayuran atau ikan yang dibasuh dengan bersih.

"Walau sesibuk mana sekalipun si ibu yang bekerja, memasak sendiri hidangan untuk dinikmati suami dan anak bukan saja mampu mengekalkan tahap kesihatan sekeluarga malah pada masa sama, menambah keharmonian hidup bekeluarga.

"Si ibu tidak perlu memasak hidangan yang rumit dan memerlukan masa lama untuk menyediakannya, cukup sekadar memasak hidangan ringkas, namun berkhasiat seperti sup sayur yang mengandungi khasiat dan penyediaannya juga pantas," ujarnya.

Dr Zubaidi berkata, penyediaan makanan di rumah turut dapat mengekalkan tahap kebersihan berbanding makanan yang dibeli di luar.

"Ibu bapa juga pasti gembira dan puas melihat anak membesar dengan sihat menerusi pengambilan makanan yang disediakan sendiri dan pada masa sama dapat mengajar anak untuk mengambil makanan berkhasiat.

"Didikan awal daripada ibu bapa mengenai makanan berkhasiat seperti sayur-sayuran ternyata penting supaya si kecil dapat menerima makanan itu dan menjadikannya antara hidangan rutin mereka," katanya.

Menurutnya, selain memasak sendiri hida-ngan, ibu bapa juga berperanan untuk memberi penerangan mengenai khasiat setiap makanan bagi memastikan anak mengetahui dan memahami kepentingan pengambilan makanan seimbang dan berkhasiat.

"Terangkan kepada anak dengan cara mudah tujuan mereka perlu makan sayur, ikan, kekacang, nasi dan apa juga hidangan setiap hari. Kaitkannya dengan kesihatan supaya mereka boleh terus hidup sihat dan bermain dengan cergas.

"Selain itu, si ibu juga perlu kreatif menghidangkan hidangan makanan kepada anak dengan membuat sedikit hiasan menarik bagi menarik perhatian mereka walaupun ia bukanlah makanan kegemaran si kecil anda," katanya.

Dr Zubaidi berkata, biar apa juga alasan, peranan si ibu dan bapa amat penting dalam menentukan tahap kesihatan anak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 5:00 AM