Hangat dan benar-benar mencetuskan perdebatan pada peringkat nasional, insiden membabitkan kumpulan idol K-Pop iaitu B1A4 memeluk serta mencium dahi peminat Melayu bertudung memang nyata melanggar norma budaya temptan.

Disebabkan penyebaran video insiden itu turut membuka mata ramai pihak sekali gus saling menuding jari. Ada yang menyalahkan penganjur, tidak kurang mengutuk tindakan luar jangkaan peminat itu sendiri.

Dalam perkara ini, terlalu banyak kelonggaran yang boleh dilihat apabila sebenarnya jika diikutkan tuduh-menuduh itu sepatutnya tidak berlaku. Namun, campur tangan peminat yang meninggalkan pelbagai jenis komen di laman sosial mengubah dimensi isu terbabit.

Ada pula yang mencadangkan kemasukan artis K-Pop ke Malaysia perlu diharamkan sedangkan hakikatnya pengikut tempatan artis Korea Selatan sangat luar biasa di sini.

Turut menarik perhatian orang industri, ikuti wawancara Wartawan RAP, GEORGIE JOSEPH ([email protected]) bersama Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berhubung isu ini.

RAP: Melihat sendiri isu ini, apa yang boleh Datuk simpulkan mengenai insiden terbabit?

FREDDIE: Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) sudah pun meletakkan garis panduan untuk sebarang persembahan luar diadakan di sini.

Jadi, apabila sudah mendapat permit itu, penganjur mesti menepati garis panduan yang ditetap­kan dan mengambil berat me­ngenai fasal interaksi. Ini teguran untuk semua penganjur,­ sebaiknya jangan cuba lang­gar sebarang kriteria itu.

RAP: Jadi, Datuk ­bersetuju penganjur yang sepatutnya­ bertanggung­jawab dalam hal ini?

FREDDIE: Ya, semua penganjur sepatutnya kena berhati-hati dan perlu me­ngikut apa saja yang sudah dipersetujui dengan Puspal. Dalam hal ini, sekali mereka terbabas dan melanggar­nya, jadilah seperti insiden berkenaan yang sepatutnya boleh dielakkan.

RAP: Bagaimana pula ­dengan kemasukan artis K-Pop ke negara ini?

FREDDIE: Artis itu tidak bersalah. Mereka cuma menurut saja apa yang sudah ditetapkan dalam acara itu dan mereka semestinya kurang arif dengan budaya di negara orang. Budaya mereka di sana mungkin memang berbeza namun di sini masih banyak nilai serta limitasi yang perlu dititikberatkan. Bagi mereka mung­kin tiada masalah kalau di negara sendiri, tetapi di sini memang berlainan.

RAP: Ada sebarang cadangan­ peribadi bagi mengelakkan insiden seumpama berlaku lagi?

FREDDIE: Sekali lagi, penganjur sama ada dalam atau luar negara perlu benar-benar meneliti setiap garis panduan bagi menggelakkan sebarang tindakan diambil pada kemudian hari. Kalau tidak, kesudahannya mereka sendiri juga akan rugi. Amalkan konsep 'mencegah itu lebih baik daripada mengubati'.

RAP: Apa pula tindakan daripada Karyawan sendiri­ untuk menangani hal ini?

FREDDIE: Kami akan menghantar cadangan kepada PUSPAL untuk menganjurkan taklimat mendalam kepada setiap penganjur bagi menekankan keperluan serta betapa pentingnya me­ngikut garis panduan.

RAP: Wajarkah K-Pop ­diharamkan di Malaysia?

FREDDIE: Kalau sampai mengharamkan itu memang tidak wajar sama sekali. Hakikatnya, ia sangat keterlaluan jika sampai ke tahap itu. Sebaliknya, setiap penganjur yang seharusnya berusaha untuk elak melakukan kecuaian sedemikian menjadikan apa yang berlaku sebagai satu iktibar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 5:00 AM