PENGGANAS bertopeng menembak mati anggota polis Perancis beragama Islam, Ahmed, pada 7 Januari lalu.
PENGGANAS bertopeng menembak mati anggota polis Perancis beragama Islam, Ahmed, pada 7 Januari lalu.

Paris: Pemilik klip video amatur mengenai pembunuhan seorang anggota polis berhampiran pejabat majalah Charlie Hebdo minggu lalu tidak menyangka ia akan tersebar begitu meluas di seluruh dunia.

Jurutera, Jordi Mir berkata, dia mengakui tindakannya mengepos klip berkenaan di Internet adalah “tindak balas bodoh” selepas bertahun-tahun menyertai media sosial.

“Saya panik,” katanya.

Mir berada di tingkat atas sebuah bangunan bersebelahan drama mengejutkan dunia itu berlaku.

Dia merakam dua daripada pengganas Islam menembak mati seorang anggota polis - yang beragama Islam - dari jarak dekat.

Ia kemudian menjadi rakaman paling dirujuk ketika isu serangan ke atas majalah satira itu dilaporkan.

Mir membiarkan klip berkenaan di Facebook sekurang-kurangnya 15 minit sebelum terfikir bahawa lebih baik ia dipadamkan.

Namun, Mir terlambat dan sudah dikongsi di seluruh dunia, selain dimuat naik di YouTube oleh orang lain.

Kurang dari sejam kemudian, Mir mendapati klip itu ditayangkan di televisyen.

Tanpa kredit kepada sesiapa, klip 42 saat itu memaparkan dua lelaki bertopeng - pasangan adik-beradik Cherif dan Said Kouachi - berjalan menghampiri Ahmed Merabet, 42.

Ahmed kemudian ditembak di kepalanya dari jarak dekat. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 5:27 AM