Bersama Ahmad Salihin Abd Rahim.


Selepas dua bulan membeli Proton Waja 1.6 liter, saya dapati air keluar dari ekzos, tetapi air dalam radiator tidak berkurangan dan suhu enjin masih dalam keadaan normal. Selain itu, adakah air dalam ekzos itu akan masuk ke dalam enjin?

INGIN TAHU

Selangor

Sebenarnya, anda tidak perlu bimbang dengan keadaan itu, terutama jika kereta masih baru. Ia memberi petanda enjin anda beroperasi secara optimum.

Hidrokarbon yang lengkap terbakar akan menghasilkan air. Cuma air itu menjadi wap ketika enjin panas dan terus hilang jika suhu luar kereta meningkat panas.

Campuran air dan karbon dioksida terhasil apabila pembakaran berlaku dalam enjin kereta. Ia keluar sebagai wap dan kelihatan ketika enjin masih sejuk serta ia keluar dari ekzos.

Anda juga boleh melihat air keluar dari paip ekzos apabila kereta masih baru. Ini kerana dalam proses pemanasan enjin, pemeluwapan berlaku dalam sistem ekzos.

Sepatutnya, anda hanya perlu risau jika air masih kelihatan keluar dari ekzos selepas dipandu dalam tempoh lama atau kelihatan asap yang berbau seperti minyak terbakar.

Ia boleh menjadi petanda buruk, berkemungkinan gegelang omboh yang retak. Cecair yang keluar dari paip ekzos dan berbau juga boleh menjadi tanda masalah enjin lebih serius.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 January 2015 @ 5:00 AM