PASUKAN keselamatan Afghanistan memeriksa kawasan serangan.  - EPA
PASUKAN keselamatan Afghanistan memeriksa kawasan serangan. - EPA

Kabul: Daish mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berani mati di bandar raya ini semalam yang menyebabkan lapan orang awam terbunuh.

Serangan awal pagi itu menyasarkan satu konvoi kereta perisai tentera NATO di kawasan antara paling sibuk di Kabul.

Pegawai kesihatan awam berkata, lapan orang awam terbunuh dan sekurang-kurangnya 25 cedera dengan beberapa kenderaan awam berhampiran konvoi itu musnah atau rosak teruk.

Jurucakap tentera Amerika Syarikat berkata, tiga anggotanya adalah antara yang cedera dalam serangan itu.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan agensi berita Amaq, Daish berkata, seorang anggotanya meletupkan sebuah kereta yang sarat dengan bahan letupan ketika konvoi itu melintasi jalan berhampiran kedutaan Amerika Syarikat.

Walaupun cabang Daish di Afghanistan tertumpu di Nangarhar, wilayah di timur Afghanistan yang bersempadan dengan Pakistan, kumpulan itu turut mengaku bertanggungjawab terhadap beberapa serangan di Kabul.

Kereta perisai yang menjadi sasaran serangan itu hanya mengalami kerosakan kecil, kata saksi. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 10:10 AM