PENCEMARAN bunyi membawa kesan buruk kepada kesihatan.
PENCEMARAN bunyi membawa kesan buruk kepada kesihatan.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Bunyi bising yang tidak menyenangkan boleh menjadi satu pencemaran alam sekitar. Pencemaran bunyi bermaksud bunyi bising keterlaluan yang boleh memekakkan telinga sesiapa yang mendengarnya.

Kesan kesihatan akibat pendedahan bunyi bising yang melampau boleh menyebabkan kerosakan telinga secara langsung malah memberi kesan buruk kepada kesihatan secara tidak langsung.

Pakar Perunding Pediatrik, Hospital Pantai Klang, Dr Shariza Lukman berkata, kehilangan pendengaran akibat bunyi bising atau NIHL boleh berlaku secara serta-merta atau kronik atau tempoh lama untuk menjadi ketara.

Katanya, ia boleh bersifat sementara atau kekal, menjejaskan satu atau kedua-dua telinga dan memberi kesan kepada semua peringkat umur.

Dia berkata, menurut kajian dianggarkan 17 peratus daripada remaja (12 hingga 19 tahun) mempunyai ciri-ciri masalah pendengaran (NIHL) dan puncanya termasuk aktiviti seperti menembak, mendengar alat pemain lagu (MP3) dengan bunyi kelantangan yang tinggi, bermain dalam kumpulan muzik dan menghadiri konsert.

“Pendedahan kepada bunyi yang kuat menyebabkan pengurangan sementara dalam sensitiviti pendengaran dan tinnitus. Boleh bertahan selama beberapa jam bergantung kepada tahap pendedahan dan boleh menjadi kekal bergantung kepada tahap dan pendedahan bunyi bising yang berlebihan.

“Jika ia berterusan boleh menyebabkan kehilangan pendengaran sensorineural pada kanak-kanak menyebabkan penurunan prestasi sekolah dan masalah sosial dan emosi,” katanya.

Katanya, pencemaran bunyi turut memberi kesan buruk kepada kesihatan dan fisiologi secara tidak langsung antaranya menyebabkan seseorang cepat marah, meningkatkan gula dan kolesterol dalam darah selain meningkatkan kadar degupan jantung serta tekanan darah tinggi.

Katanya, antara kesan fisiologi lain termasuk peningkatan hormon adrenal (kortisol) sebagai tindak balas tekanan atau stres, peningkatan berkaitan pembentukan ulser gastrik dan perubahan dalam pergerakan usus serta peningkatan kekejangan otot.

Kesan bunyi mengikut umur kanak-kanak

Janin

Pendedahan ibu hamil kepada pencemaran bunyi boleh menyebabkan masalah pembesaran dan pendengaran kepada janin

Bayi (pramatang/cukup bulan)

Pendedahan kepada bunyi bising (rawatan rapi neonatal 24 jam) kepada bayi pramatang yang mempunyai organ pendengaran, sistem visual atau sistem saraf yang kurang matang boleh menyebabkan masalah pendengaran

Kesan buruk lain akibat bunyi bising ialah gangguan tidur yang penting untuk tumbesaran.

Prasekolah/kanak-kanak bersekolah

Lebih 20 kajian yang melaporkan kesan buruk bunyi bising kepada prestasi akademik kanak-kanak kerana kesan kepada pendengaran, gangguan tidur, kesan somatik (tekanan darah tinggi dan perubahan hormon disebabkan tekanan).

Perubahan psikososial- fungsi kognitif terjejas membabitkan pembacaan, memori jangka panjang, perhatian dan motivasi.

Remaja

Masalah kehilangan pendengaran mungkin tidak dapat dikesan walaupun setelah bertahun-tahun terdedah kepada tahap kebisingan yang tinggi. Kajian menunjukkan terdapat kadar peningkatan dengan masalah pendengaran remaja dalam tiga dekad terkini. Contoh sumber bunyi bising ialah mercun, alat muzik atau pendedahan kepada disko dan konsert pop.

Biasanya bunyi radio, televisyen dan alat perkakas rumah adalah selamat. Jika sumber bunyi kurang daripada 75 desibel (db), ia tidak menimbulkan masalah pendengaran, hanya bunyi yang melebihi 85dB berulang kali dan dalam jangka masa panjang akan menyebabkan kehilangan pendengaran.

Kehilangan pende­ngaran selalunya berlaku dalam tempoh beberapa tahun. Kebanyakan pesakit mung­kin tidak menyedari masalah pendengaran kerana ia berlaku secara beransur-ansur dan tidak mempunyai sebarang kesakitan.

Mereka mungkin mempunyai masalah tinnitus, iaitu bunyi atau dengungan pada telinga. Ia akibat daripada pendedahan jangka panjang kepada bunyi yang boleh merosakkan saraf pendengaran.

Kumpulan kanak-kanak yang berisiko tinggi

- Janin dan bayi yang baru lahir

- Bayi pramatang dan bayi yang bersaiz kecil untuk usia kandungan

- Kanak-kanak yang mengalami masalah disleksia, hiperaktif dan autistik

- Kanak-kanak yang memakan ubat ototoksid (ubat yang boleh merosakkan pendengaran)

Implikasi kesan bunyi

- Kemerosotan pembelajaran dan pendidikan (kelewatan perkembangankanak-kanak)

- Defisit/kekurangan pendengaran dalam jangka pendek diikuti dengan penyesuaian

- Kesan secara tidak langsung

- Pendedahan kepada bunyi bising yang melampau dan getaran semasa hamil boleh menyebabkan peningkatan risiko kehilangan pendengaran pada bayi.

- Ia juga dikaitkan dengan kelahiran pramatang dan pertumbuhan terencat walaupun bukti saintifik masih tidak meyakinkan.

Langkah pencegahan

Pendidikan: Mengenal pasti sumber bunyi dan mengetahui bunyi yang kuat boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan kanak-kanak dan boleh menyebabkan kerosakan kepada telinga (melebihi 85db).

Gunakan penyumbat telinga atau perlindungan yang lain apabila kanak-kanak terbabit dalam aktiviti membabitkan bunyi kuat.

Jika kita tidak boleh mengurangkan bunyi bising maka ibu bapa perlu melarikan kanak-kanak dari tempat yang bising.

Mereka juga perlu peka kepada bunyi bising berbahaya dalam persekitaran dan jika ada kebimbangan mengenai masalah pendengaran dalam kalangan anak, mereka perlu berjumpa pakar telinga, leher dan lidah (ENT).

Rawatan

Jika kanak-kanak menunjukkan masalah gejala pendengaran seperti pertuturan terhad (lambat bercakap), sering tidak memberi perhatian sepenuhnya, kesukaran pembelajaran, memerlukan kelantangan televisyen yang lebih tinggi dan gagal bertindak balas kepada perbualan atau menjawab tidak sesuai kepada soalan, anda akan perlu membawanya berjumpa pakar ENT.

Pakar ENT boleh me­ngenal pasti masalah pendengaran dan mencadangkan cara terbaik untuk menguruskan mereka.

Pendedahan kepada tahap bunyi bising yang sederhana boleh menyebabkan:

- Tekanan psikologi

- Kegusaran, gangguan dengan aktiviti dan pe­ngasingan diri

- Sakit kepala, keletihan dan cepat marah boleh menjejaskan fungsi intelektual dan prestasi sekolah

Pendedahan kepada tahap bunyi bising yang kuat boleh menyebabkan:

- Perubahan personaliti - tingkah laku agresif dan ganas

- Mengurangkan keupayaan untuk menghadapi keadaan sukar

- Mengubah prestasi kerja dan fungsi intelek

- Boleh menyebabkan kekejangan otot dan mematahkan tulang (apabila bergabung dengan getaran yang kuat)

- Gangguan tidur

- Perubahan kesihatan mental

Pendedahan kepada bunyi bising yang kuat secara tiba-tiba boleh menyebabkan:

- Reaksi mengejutkan dengan tindak balas tekanan

- Tindak balas tekanan keganasan - kejutan dan panik digambarkan pada kanak-kanak apabila terdedah kepada boom sonik

- Penjejasan fungsi kognitif

- Pendedahan bunyi kronik merosakkan fungsi kefahaman kognitif- membaca dan memori jangka panjang

- Penjejasan fungsi kognitif bergantung kepada kekuatan dan jangka masa pendedahan kepada pencemaran bunyi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 12:15 PM