SUSPEK (kiri) dan laporan polis dibuat mangsa. FOTO Facebook mangsa
SUSPEK (kiri) dan laporan polis dibuat mangsa. FOTO Facebook mangsa
Mohamad Fahd Rahmat


Batu Pahat: Remaja lelaki ditahan selepas dipercayai meraba buah dada wanita dalam bas di Hentian Rehat Simpang Renggam, Kluang pada 30 April lalu kira-kira 6 petang.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, mangsa berusia 21 tahun terkejut dan menjerit kerana melihat suspek berusia 17 tahun berada di tempat duduk sebelahnya walapun sebelum ini berada di kerusi belakang.

"Pada 30 April lalu, pengadu dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Batu Pahat dengan menaiki bas ekspres dan merasakan pinggangnya disentuh seseorang.

“Ketika pengadu pusing ke belakang mendapati lelaki tidak dikenali berada di belakangnya namun lelaki terbabit sedang memandang ke arah lain.

"Pengadu yang bekerja di Singapura dalam perjalanan balik ke Batu Pahat dan tertidur. Ketika sampai di Hentian Rehat Simpang Renggam, pengadu tersedar selepas buah dadanya disentuh.

"Pengadu menjerit dan bertanya kepada suspek perihal kejadian itu namun suspek tidak mengaku dan mengatakan hanya membetulkan penghawa dingin," katanya

Suspek direman selama empat hari sehingga Khamis ini mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Kes cabul berkenaan menjadi tular di Facebook selepas mangsa memuat naik status mengenai kejadian berkenaan dan dikongsi kira-kira 5,300 pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 5:52 PM