MENTERI Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua kanan) diiringi Zaini (kanan) melawat Sungai Masai ketika majlis pelancaran program Sungaiku Hartaku. FOTO Hairul Anuar Rahim
MENTERI Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua kanan) diiringi Zaini (kanan) melawat Sungai Masai ketika majlis pelancaran program Sungaiku Hartaku. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


Pasir Gudang: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) akan mengadakan perbincangan dengan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) bagi memperincikan cadangan pembinaan loji kumbahan bersepadu baru di negeri ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata, perbincangan itu akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi mewujudkan loji kumbahan bersepadu yang dijangka dibina di kawasan Pasir Gudang.

"Ketika ini, terdapat 158 loji kumbahan di kawasan Pasir Gudang dan Tebrau dan loji kumbahan sedia ada ini sudah berusia lebih daripada 30 hingga 40 tahun yang mana pembersihan dilakukan tidak memberikan hasil yang dikehendaki.

"Hasil perbincangan antara kementerian dan IRDA itu nanti akan dibentangkan kepada Perdana Menteri dalam mesyuarat yang akan datang," katanya ketika sidang media selepas menghadiri Program Sungaiku Hartaku di Pasar Nelayan, Kampung Pasir Gudang Baru dekat Masai di sini, hari ini.

Beliau berkata, selepas loji kumbahan bersepadu itu siap, ia dijangka dapat membekalkan air kepada kira-kira 1.5 juta penduduk serta 260 juta liter sehari khususnya untuk kegunaan industri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 4:53 PM