ANTARA penaja untuk KL Tower International Towerthon Challenge 2017.
ANTARA penaja untuk KL Tower International Towerthon Challenge 2017.
Suliati Asri


Diadakan bertujuan memberi peluang kepada peserta menguji kekuatan fizikal dan mental serta menawan puncak Menara Kuala Lumpur, KL Tower International Towerthon Challenge 2017 kembali buat kali ke-17.

Mengetengahkan tema ‘ Let’s Be Victorious,’ perlumbaan ini bermula dengan larian dari kawasan parkir terbuka Menara Kuala Lumpur kemudian mendaki bukit sejauh 800 meter hingga ke lobi dan memanjat 2,058 tangga ke Dewan Bankuet Megaview sepanjang 288 meter.

Istimewanya edisi KL Tower International Towerthon Challenge ke-17 yang bakal diadakan pada 14 Mei ini, ia antara acara sokongan untuk menghangatkan lagi bahang Sukan Sea Ke-29 Kuala Lumpur 2017.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan, edisi ke-17 KL Tower International Towerthon Challenge ini menawarkan kemeriahan dan keseronokan tersendiri.

Katanya, selain menyokong kehangatan Sukan Sea Ke-29 Kuala Lumpur 2017, kategori terbaru yang diperkenalkan iaitu Kategori Selebriti juga antara tarikan menarik KL Tower International Towerthon Challenge 2017 itu.

“Kategori Selebriti ini adalah kategori kesembilan dan diadakan khusus buat selebriti yang meminati sukan lasak dan ingin mencabar diri untuk sama-sama mendaki 2,058 anak tangga di Menara Kuala Lumpur ini.

“Ia diperkenalkan berikutan permintaan yang menggalakkan daripada selebriti berminat menyertai acara ini selain menambahkan kemeriahan acara turut mendapat penyertaan antarabangsa pelbagai negara,” katanya.

Selain itu, kata Meor Shahril, untuk edisi ke-17 ini, pihaknya juga berharap peserta tempatan yang mengambil bahagian berjaya memecah rekod sebelum ini.

“Sejak penganjuran kali pertama acara ini pada 1988, rekod terbaik dicatatkan peserta lelaki Malaysia setakat ini adalah 11 minit 56 saat, sementara peserta wanita Malaysia mencatatkan masa terbaik 14 minit 51 saat.

“Kami berharap peserta tempatan pada tahun ini lebih kompetitif untuk memecahkan rekod yang tercipta sebelum ini,” katanya.

Bagi memeriahkan lagi KL Tower International Towerthon Challenge 2017, Bomba Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga bakal mengadakan perlumbaan Bomba Tower Running yang dijangka diadakan pada pagi, 13 Mei sebagai acara sampingan.

Pameran keselamatan, kenderaan penyelamat, flying fox, persembahan bina badan Mr Wonderful, 90 minit tarian zumba tanpa henti, cabaran belia sihat, explorace belia, flash mob, pertandingan hakka antara yang turut diadakan dari 13 hingga 14 Mei ini.

Pada pagi 14 Mei, Kelab Pemilik Lamborghini Malaysia juga turut sama mengadakan pameran 11 kereta Lamborghini terpantas, istimewa untuk peserta dan pelawat KL Tower International Towerthon Challenge 2017.

Selain melihat lebih dekat kereta terpantas itu, pengunjung juga berpeluang mengenali sejarah dan evolusi kereta Lamborghini yang dipamerkan pada hari itu.

Bagi anda yang ingin mencabar diri dan menakluk puncak Menara Kuala Lumpur dengan mendaki 2,058 anak tangga, anda masih berpeluang mendaftar dengan layari laman sesawang www.menarakl.com.my untuk maklumat selanjutnya. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 5 Mei 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 11:28 AM