LUQMAN Hakim Shamsudin
LUQMAN Hakim Shamsudin
Firdaus Hashim


Kotschach (Austria): Pertama kali menyarung jersi negara membuatkan penyerang skuad bawah 15 (B-15) tahun, Luqman Hakim Shamsudin teruja dan mengganggap ianya umpama mimpi yang bertukar menjadi kenyataan.

Menurut pemain berasal dari Kelantan itu, tugasan antarabangsa kali ini agak berbeza berbanding sebelumnya yang membawa nama Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dalam setiap pertandingan dan siri jelajah pasukan.

"Kami selalu gunakan jersi NFDP walaupun mewakili negara di kejohanan luar ataupun dalam negara. Tetapi kali ini ianya lain kerana kami memakai jersi Malaysia yang sudah lama saya idamkan.

"Selalu tengok pemain senior di dalam televisyen bermain atas nama Harimau Malaya. Kali ini saya pula akan memakainya buat pertama kali sejak menyertai program (NFDP) ini.

"Saya rasa amat teruja. Malah, saya rasa begitu semangat dengan bendera Malaysia tersemat di dada," katanya ketika ditemui Arena Metro di hotel penginapan pasukan di sini, hari ini.

Luqman antara peledak utama skuad muda negara itu sering menjadi pilihan pengendali pasukan, Lim Teong Kim untuk merobek gawang lawan dan aksi pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu nyata tidak mengecewakan.

Paling mencuri tumpuan sudah pasti ketika dia membantu pasukan mengejutkan kelab-kelab ternama Eropah apabila menjuarai Kejohanan Ibercup Costa Del Sol di Sepanyol pada 2015 lalu selepas menumbangkan Sporting Lisbon 2-1 dalam aksi final itu.

Ketika ini, Luqman dan skuad kendalian Teong Kim berada di Austria bagi menghadapi saingan Torneo Delle Nazioni yang menghimpunkan 12 negara dalam pertandingan berkenaan.

"InsyaAllah, saya akan buat yang terbaik untuk negara dan ibu bapa. Saya percaya kami mampu cipta satu lagi sejarah memenangi kejohanan ini," katanya yang turut membantu pasukan menjulang Piala Supermokh penghujung tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 10:28 AM