SEBAHAGIAN ahli koperasi selepas bergotong-royong membersihkan ladang.
SEBAHAGIAN ahli koperasi selepas bergotong-royong membersihkan ladang.

Koperasi Warisan Keluarga Othman (KOWAMAN) memilih bidang pertanian sebagai perusahaan utama koperasi mereka berbaloi apabila ladang kelapa sawit yang diusahakan secara gotong-royong bersama 36 ahlinya membuahkan hasil lumayan.

Ladang seluas 10 hektar di Kampung Pasir Pelata, Bukit Diman di Hulu Terengganu itu diusahakan KOWAMAN selepas membeli dengan harga lebih RM600,000 daripada seorang pemilik terbesar ladang kelapa sawit di kawasan berkenaan.

Pengurus KOWAMAN Zulhazmi Othman berkata, pada peringkat permulaan hanya 615 pokok kelapa sawit di ladang itu sebelum ditambah 1,085 pokok anak kelapa sawit menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,700 pokok.

“Hasil penjagaan rapi secara bergotong-royong bersama semua ahli, kini kami berjaya memperolehi hasil bulanan sehingga RM6,000 sebulan bergantung kepada kekerapan pengambilan buah dan harga pasaran buah kelapa sawit berkenaan.

“Memang berbaloi selepas KOWAMAN melabur wang selain membuat pinjaman dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk mengusahakan ladang kelapa sawit kerana ia memberikan pulangan berterusan kepada koperasi,” katanya.

Zulhazmi berkata, KOWAMAN akan mempelbagai kegiatan pertanian selain ladang kelapa sawit termasuk penternakan lembu dan penanaman jagung dalam tempoh terdekat.

“Kami lihat perusahaan pertanian itu membuahkan hasil lumayan kepada koperasi malah ia memberi pulangan jangka masa pendek dan panjang yang berterusan sementara risiko kerugiannya sangat kecil berbanding perniagaan lain.

“Uniknya perusahaan kelapa sawit dijalankan itu kerana semua ahli koperasi yang terdiri daripada ahli keluarga bekerja secara bergotong-royong menguruskan ladang kelapa sawit mengikut sistem giliran ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, setiap ahli diberikan peranan tertentu termasuk proses memetik buah, mengangkut dan menjualnya kepada pihak yang berkenaan.

“Sistem pengurusan ladang yang dijalankan itu secara tidak langsung mendedahkan semua ahli dengan aktiviti pertanian malah memberi ilmu berkenaan pengurusan ladang kelapa sawit sebenar kepada mereka.

“Bidang pertanian memberi pulangan lumayan oleh itu memang wajar semua ahli terbabit dengan perusahaan itu, bukan saja menikmati keuntungan hasil perusahaan perladangan tetapi turut memperolehi ilmu pertanian yang boleh dikembangkan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Juhaida Othman, 42, berkata, perusahaan pertanian berasaskan sawit itu tidak cerewet berbanding pertanian lain kerana tidak memerlukan penjagaan rapi.

“Risiko yang dihadapi hanyalah serangan burung selain anak sawit yang baru ditanam disondol babi liar namun semua masalah itu dapat ditangani dan tidak memberi ancaman serius.

“Kami bernasib baik kerana FELCRA Berhad yang kebetulan mempunyai ladang kelapa sawit bersebelahan ladang kami tidak lokek memberi bimbingan dan panduan pengurusan ladang yang betul,” katanya.

Seorang lagi ahli KOWAMAN, Nur Faizah Othman, 35, berkata, dia seronok menguruskan ladang kelapa sawit secara bergotong-royong dan ia secara tidak langsung memberi ilmu kepada semua ahli mengenai perusahaan kelapa sawit.

“Ladang ini bukan sekadar memberi pulangan lumayan kepada koperasi tetapi secara tidak langsung menyemai semangat kerjasama antara ahli koperasi.

“Melalui perusahaan ini, kami dapat bekerjasama dan mempelajari selok-belok perusahaan peladangan serta pada setiap bulan kami akan berkumpul untuk menjalankan aktiviti gotong-royong membersihkan ladang berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dia berharap ladang kelapa sawit yang diusahakan melalui koperasi itu dapat mengeluarkan hasil yang lebih lumayan selepas anak pokok baru ditanam mula mengeluarkan hasil dalam tempoh tiga tahun dengan jangkaan perolehan bulanan sebanyak RM18,000. - Ahmad Rabiul Zulkifli

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 11:10 AM