PENGUKUHAN harga minyak mentah global menyumbang kepada kenaikan ringgit.
PENGUKUHAN harga minyak mentah global menyumbang kepada kenaikan ringgit.

Kuala Lumpur: Ringgit dijangka kekal pada paras 4.40 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini berikutan jangkaan kelemahan mata wang negara maju itu dan peningkatan harga komoditi.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, kenyataan Presiden Donald Trump yang lebih berminat melihat dolar AS lemah, turut meningkatkan ringgit.

“Kenyataan Trump itu menyebabkan pelabur mengalihkan minat mereka kepada mata wang pasaran negara sedang pesat membangun termasuk ringgit,” katanya.

Nazri Khan berkata, harga minyak mentah global yang lebih kukuh pada sekitar AS$54 setong turut mendorong kenaikan ringgit.

“Selain itu, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar China yang melebihi jangkaan iaitu naik sebanyak 6.9 peratus pada suku pertama tahun ini juga secara tidak langsung turut memacu pergerakan ringgit.

“Apabila ekonomi China kukuh, maka eksport Malaysia ke negara itu akan turut meningkat,” katanya.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 7:25 AM