VOLVO lancar model S90 dan V90.
VOLVO lancar model S90 dan V90.
Lizam Ridzuan


Penampilan lebih segar dan muda, rekaan jenama Volvo kini melalui transformasi fasa kedua dengan platform Scalable Product Architecture (SPA) terbaru mereka.

Volvo S90 dan V90 baru dilancarkan di Malaysia awal bulan ini menawarkan pemanduan dinamik dan berprestasi untuk sebuah sedan serta varian estate (station wagon) premium.

Ia telah direka semula untuk ciri kawalan dan keselesaan maksimum dengan bentuk menawan serta lebih rendah, panjang dan lebar dalam kelasnya.

Kedua-duanya didatangkan dalam dua varian iaitu T5 dan T6 R-Design dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo lapan kelajuan automatik mampu menghasilkan kuasa kuda 254hp pada 5,500rpm dan 320hp pada 5,700rpm yang dilengkapi kuasa pengecas.

Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia Lennart Stegland berkata, walaupun kenderaan segmen estate (station wagon) tidak begitu popular di negara ini, ia adalah model yang bukan sahaja praktikal malah memberikan kepuasan terhadap pemanduan.

“V90 adalah rekaan daripada warisan dan sejarah model estate Volvo terdahulu untuk pilihan gaya hidup premium kepada pengguna di Malaysia,” katanya.

Dilengkapi dengan teknologi bantu pemandu sebagai ciri standard serta sistem Membrek Kecemasan Automatik (AEB) terkini menawarkan pemanduan separa autonomi bagi kawalan jarak dan pengesan objek di hadapan untuk mengelakkan daripada berlaku perlanggaran.

Untuk varian R-Design ia menampilkan elemen sporty dengan pemanduan gaya responsif dan prestasi termasuk casis sport terkini untuk lebih berkuasa serta kestabilan di jalanan.

Empat warna ditawarkan iaitu hitam, putih, kelabu dan perak untuk semua varian manakala untuk T5 dengan warna biru eksklusif dan bagi T6 R-Design pembeli boleh memilih warna Biru Bursting signatur Volvo.

S90 T5 dijual pada harga RM388,888 dan untuk T6 R-Design pada harga RM453,888 manakala V90 T5 dan T6 R-Design masing-masing pada harga RM393,888 dan RM458,888 (semua harga atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2017 @ 2:14 AM