GABUNGAN cermin, ilusi ruang dan aksesori taman yang menarik.
GABUNGAN cermin, ilusi ruang dan aksesori taman yang menarik.

Salam deko buat semua. Selama dua minggu ini saya akan berkongsi panduan memanfaatkan ruang halaman yang kecil supaya tampil lebih cantik dan menyerlah. Tidak kira apa juga jenis kediaman sama ada teres, apartmen, kondominium atau banglo. Selagi kediaman kita itu mempunyai sedikit ruang halaman atau balkoni, maka anda boleh serlahkan kreativiti dari membiarkannya begitu saja.

Secara umumnya kita sering mengetepikan keinginan untuk mencipta laman dengan alasan ruang terlalu kecil. Jadi kali ini beberapa tip untuk menghidupkan ruang laman anda yang kecil dan sempit akan saya kongsikan.

Penggunaan cermin

Cermin yang digunakan perlulah dari jenis tahan cuaca panas dan lasak. Posisi cermin juga perlu supaya tidak menghadap kawasan lalu-lalang. Jika ia dapat ‘membalikkan’ kawasan pemandangan bersetentang dengannya adalah lebih baik untuk memberi ilusi ruang luas di belakang cermin itu.

Cermin juga boleh diletakkan pada belakang hiasan pokok-pokok jika anda tidak mempunyai ruang yang besar untuk meletakkan banyak tanaman hiasan. Ini kerana biasan imej dari cermin membuatkan susunan tanaman anda yang sedikit kelihatan lebih banyak.

Ilusi ruang

Tujuan utamanya untuk menarik perhatian. Ini boleh dilakukan dengan lukisan. Anda boleh menggunakan khidmat pelukis atau jika anda memiliki bakat boleh menghasilkannya menurut cita rasa sendiri. Namun, jika tidak pun beli sahaja lukisan perspektif yang kini banyak dijual di pasaran.

Pilihan lukisan atau gambar haruslah memberikan persepsi luas kerana jika anda pilih sembarangan mungkin ia tidak membantu. Pastikan anda memilih lukisan yang tahan perubahan cuaca di negara kita. Anda juga boleh membuat replika pintu atau tingkap menggunakan material sebenar termasuk kayu atau kaca untuk menimbulkan persepsi ruang di bahagian taman mini anda itu.

Gabungkan elemen kreatif

Kediaman yang memiliki ruang laman yang luas, boleh bermain dengan ruang, pelbagai jenis tumbuhan dan perspektif. Tetapi, bagi yang memiliki ruang kecil, anda perlu bermain dengan jenis pasu yang digunakan termasuk tekstur dan warnanya.

Di samping pelbagai jenis tanaman, tapi perlu sesuai sebagai satu kombinasi. Apa yang penting adalah hasilnya apabila semua elemen ini digabungkan. Jika dinding anda adalah simen atau batu, warna yang digunakan mestilah sesuai untuk menwujudkan ruang luas dan lapang. Pastikan anda mengikuti sambungannya minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 5:22 AM