ASKAR Korea Utara mengambil bahagian dalam demonstrasi di negara itu. FOTO KCNA/AP
ASKAR Korea Utara mengambil bahagian dalam demonstrasi di negara itu. FOTO KCNA/AP
AFP

Beijing: Konflik berhubung Korea Utara boleh tercetus "pada bila-bila masa" tetapi tiada siapa yang akan menang, kata Menteri Luar China, Wang Yi.

Kenyataannya dibuat selepas Presiden Donald Trump berkata, masalah berhubung Korea Utara "akan ditangani" dan spekulasi Korea Utara bersedia mengadakan satu lagi ujian peluru berpandu bertambah.

"Akhir-akhir ini, ketegangan telah meningkat ... dan dikhuatiri konflik boleh tercetus pada bila-bila masa.

"Jika peperangan berlaku, hakikatnya tiada siapa boleh dianggap pemenang,” kata Wang.

Pihak yang mencetuskan konflik juga “perlu menggalas tanggungjawab bagi peristiwa bersejarah dan menerima balasannya,” katanya ketika sidang media bersama rakan setugas Perancis, Jean-Marc Ayrault.

Trump sudah mengerahkan kumpulan kapal pengangkut pesawat ke semenanjung Korea yang dilihat antara beberapa keputusan bagi menunjukkan kesanggupan merombak strategi dasar luar negeri negara itu.

Angkatan Tentera Amerika Syarikat juga menggugurkan bom bukan nuklear terbesar, menyasarkan kompleks terowong yang digunakan Daish di Afghanistan pada Khamis.

Trump juga mengarah serangan ke atas pangkalan udara di Syria yang dipercayai digunakan dalam serangan kimia terhadap orang awam di bandar utara negara itu.

Tindakan ini dilihat sebagai amaran kepada Korea Utara sekaligus menununjukkan Washington tidak teragak-agak menggunakan kekuatan tenteranya.

Terdahulu, seorang pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) yang enggan dikenali mengesahkan AS menimbang untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap Korea Utara sebagai tindak balas terhadap program senjata negara itu.

“Pilihan ketenteraan kini dalam pertimbangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 8:52 PM