SHERRINA (depan kiri) Dr Wafaa (depan dua dari kiri) dan Norashikin (kanan) bersama kakitangan klinik yang turut memberi kerjasama menyelamatkan kucing terbiar.
SHERRINA (depan kiri) Dr Wafaa (depan dua dari kiri) dan Norashikin (kanan) bersama kakitangan klinik yang turut memberi kerjasama menyelamatkan kucing terbiar.
KEBANYAKAN kucing tidak bertuan, terbiar dan mengharapkan ihsan peniaga.
KEBANYAKAN kucing tidak bertuan, terbiar dan mengharapkan ihsan peniaga.
KUCING jalanan yang dikutip dibersihkan seluruh badannya.
KUCING jalanan yang dikutip dibersihkan seluruh badannya.
ANTARA kucing yang diselamatkan dan kini mencari 'keluarga'.
ANTARA kucing yang diselamatkan dan kini mencari 'keluarga'.
 NORASHIKIN berharap orang ramai mengambil inisiatif mengembirikan haiwan kesayangan daripada membuangnya di jalanan.
NORASHIKIN berharap orang ramai mengambil inisiatif mengembirikan haiwan kesayangan daripada membuangnya di jalanan.
NORASHIKIN menguruskan beberapa kucing jalanan yang sudah dibersihkannya.
NORASHIKIN menguruskan beberapa kucing jalanan yang sudah dibersihkannya.
DR Wafaa (kiri) memotong kuku kucing jalanan sambil dibantu kakitangan klinik.
DR Wafaa (kiri) memotong kuku kucing jalanan sambil dibantu kakitangan klinik.
Siti Salmiah A Hamid

salmiahhmetro.com.my

Kucing dan anjing sentiasa menjadi pilihan masyarakat berbilang bangsa sebagai haiwan peliharaan di rumah kerana ia dianggap teman baik manusia dan mudah diurus.

Namun, masih wujud segelintir individu dalam masyarakat yang memiliki sikap tidak matang dan lebih teruk lagi hilang kasih sayang terhadap haiwan berkenaan hingga sanggup bertindak kejam.

Sebahagiannya pula bersikap tidak acuh dengan membuang haiwan peliharaan mereka di kedai makan atau pasar dengan harapan si comel itu mampu berdikari dan mengharapkan belas ihsan peniaga.

Sikap tidak bertanggungjawab itu semakin keterlaluan apabila banyak kucing jalanan dilihat terus berkeliaran di mana-mana.

Pengasas Petadoption2u dan Independent Pets Rescuers (IPR) KL Sherrina Krishnan-Leyow berkata, kebanyakan kucing dibuang tuannya apabila tidak dapat dijaga kebajikannya.

“Kebiasaannya ia disebabkan kucing berkenaan memiliki banyak anak dan tuan punya haiwan tidak dapat menguruskan kebajikan semua haiwan berkenaan.

“Akhirnya, kucing itu ditinggalkan di kedai makan malah ada juga yang tidak berhati perut dengan meninggalkannya di hentian lebuh raya, di surau, tapak pembinaan dan tempat letak kereta.

“Sikap tidak bertanggungjawab itu bukan saja mengakibatkan haiwan peliharaan berkenaan kelaparan malah berhadapan ancaman haiwan liar lain dan kemungkinan mati disebabkan persekitaran,” katanya yang menumpukan kawasan sekitar Hulu Klang terutama di Medan Selera Wangsa Melawati.

Penulis bertemu dengan Sherrina dan rakan sukarelawan ketika berkunjung ke Klinik Veterinar Wangsa Melawati.

Pada mulanya, penulis sangkakan 10 sangkar kucing di klinik berkenaan dimiliki tuan berbeza, sebaliknya ia adalah kucing jalanan yang diselamatkan.

Sherrina dan pembantunya, Norashikin Jamaludin atau Intan sering bergerak ke kawasan medan makan sekitar Hulu Klang untuk menyelamatkan kucing terbiar lalu dibawa pulang untuk dibersihkan.

IPR-KL akan memeriksa tahap kesihatan kucing berkenaan agar mudah untuk diberi rawatan dan divaksinkan agar terhindar daripada penyakit berjangkit seperti Feline Parvovirus, Feline Infectious Peritonitis, Feline Immunodeficiency Virus dan Feline Leukaemia Virus.

Dalam pada itu, haiwan seperti kucing boleh dikembirikan ketika mencapai usia lima atau enam bulan ke atas.

Sherrina turut berkongsi mengenai sikap masyarakat yang menganggap kembiri haiwan sebagai kejam.

“Melakukan kembiri ke atas haiwan peliharaan bukan bermaksud membinasakan haiwan berkenaan tetapi ia bersesuaian dengan situasi masyarakat yang ingin membela haiwan tetapi tidak mampu memenuhi kebajikannya apabila ia beranak-pinak.

“Mereka sanggup membuang kucing kerana sudah terlalu banyak dan kurang berkemampuan untuk menyediakan makanan atau mengembiri haiwan berkenaan.

“Sekiranya ragu, orang ramai boleh merujuk klinik haiwan mengenai pengurusan kucing dan proses kembiri,” katanya yang memiliki pengalaman 10 tahun dalam bidang ini.

Menurut Intan, dia pernah menyelamatkan ibu kucing bersama tiga anak di dalam tong sampah dan bernasib baik kerana sempat mengeluarkan kucing berkenaan sebelum diangkut lori sampah.

“Disebabkan perkara sedemikian IPR-KL menggalakkan orang ramai mengembiri haiwan kesayangan bagi mengelakkan berlaku pembuangan anak kucing sesuka hati.

“Orang ramai juga boleh berkunjung ke Klinik Veterinar Shah Alam untuk mendapatkan maklumat lanjut atau layari www.petadoption2u.blogspot.my atau Facebook IndependentPetRescuers.

Klinik kembiri 1,900 kucing

“Sebanyak 1,900 kucing sudah dikembirikan di Klinik Veterinar Wangsa Melawati dan di Klinik Veterinar Shah Alam.

“Dalam sehari sekurang-kurangnya lima kucing akan menjalani proses berkenaan.

“Melakukan kembiri ke atas haiwan adalah selaras dengan ketetapan fatwa yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2002 iaitu ‘mengembiri binatang kesayangan seperti kucing atau anjing hukumnya adalah diharuskan dengan sebab-sebab tertentu iaitu bagi menjaga kemaslahatan ummah’.

“Sekiranya terdapat kekeliruan, orang ramai digalakkan bertanya kepada klinik haiwan yang mengendalikan proses berkenaan,” ujar doktor bedah veterinar, Dr Wafaa Abdul Washeff.

Untuk mengembirikan haiwan, bayaran bagi kucing jantan ialah RM110 manakala kucing betina RM130.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 3:08 PM