Mohamed Al Amin  (tiga dari kiri) melancarkan E50 hari ini. FOTO MUHD ZAABA ZAKERIA
Mohamed Al Amin (tiga dari kiri) melancarkan E50 hari ini. FOTO MUHD ZAABA ZAKERIA
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: SME Corp Malaysia (SME Corp) melancarkan Anugerah 50 Perusahaan (E50) untuk tahun ke 20 pada tahun ini bagi mengiktiraf pencapaian pemain perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

E50 tahun ini dianjurkan dengan kerjasama firma audit antarabangsa, Deloitte serta mendapat sokongan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), selain Media Prima Berhad antara rakan strategiknya.

Pengerusi SME Corp Tan Sri Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid berkata, pemenang Anugerah E50 diumumkan pada November ini membuktikan kejayaan kerjasama dan sokongan awam-swasta tempatan bagi bersama-sama mengiktiraf sektor PKS tempatan.

Beliau berkata, syarikat yang tersenarai dalam E50 adalah dalam kalangan yang terbaik dari segi kewangan dan pengurusan yang bersesuaian dengan kehendak pasaran ketika ini.

"Pemenang Anugerah E50 juga bakal disenaraikan untuk Anugerah Kecemerlangan Industri yang dianjurkan Miti pada tahun ini serta dapat bekerjasama dengan Deloitte bagi membangunkan strategi perniagaan ke pasaran baru.

"Anugerah ini juga bagi membantu pemenang untuk disenarai awam dengan kerjasama Bursa Malaysia, Teraju dan MIDF," katanya di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif, Datuk Hafsah Hashim dan Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Media Prima, Shareen Ooi.

Bagi syarikat PKS tempatan yang berminat menyertai Anugerah E50 boleh mendapatkan maklumat di www.e50.com.my dan penyertaannya dibuka bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 11:19 AM