Anggota polis memeriksa suspek. FOTO ihsan polis
Anggota polis memeriksa suspek. FOTO ihsan polis
Junaidi Ladjana


Tawau: Seorang lelaki diberkas polis selepas memiliki syabu seberat 134.1 gram bernilai RM14,800 di kawasan parkir Jalan Muhibbah Raya, di sini, semalam.

Dalam kejadian 1.15 tengah hari itu, suspek berusia 39 tahun diberkas polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan anggota Pondok Polis Kawasan (PPK) Merotai.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, ketika menjalankan Op Tapis di kawasan berkenaan, anggota melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Polis memperkenalkan diri menyebabkan suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

"Hasil pemeriksaan menemui satu sampul surat warna putih di poket seluar suspek. Pemeriksaan menemui tiga paket plastik lut sinar berisi bahan hablur jernih disyaki syabu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Diharap dengan adanya operasi berterusan sebegini dapat mengurangkan indeks jenayah serta membanteras habis-habisan najis dadah, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 6:47 PM