Siti Nadirah Hafidzin


Gimnasium atau pusat kecergasan tempat sesuai untuk menjalankan apa juga jenis senaman memandangkan ia memiliki peralatan serba lengkap dan mempunyai pelatih bertauliah.

Kekangan masa terutama kesibukan dengan pelbagai tuntutan tugas di pejabat atau urusan seharian menyebabkan ramai wanita sukar mendapatkan waktu terluang untuk bersenam.

Hakikatnya bersenam bukan hanya boleh dilakukan di pusat kecergasan kerana lokasi tidak menjadi halangan untuk bersenam. Hanya menggunakan tikar pelapik dan iringan muzik, senaman boleh dilakukan di rumah atau pejabat dengan tempoh tidak terlalu lama selain tanpa memerlukan sebarang kos.

Demi menjaga kesihatan diri yang tidak ternilai, ikuti tujuh langkah mudah yang boleh dilakukan di rumah atau di pejabat:

1. Berjalan

Gunakan tangga di rumah anda untuk melakukan senaman. Sekiranya rumah anda tidak mempunyai tangga, anda cuma perlu berjalan di sekitar rumah untuk beberapa pusingan kerana ia membantu untuk menguatkan otot kaki.

2. Lompat katak

Melompat seperti katak amat mudah dan lakukannya dalam kiraan 10 saat. Pada masa sama, cuba melompat ke belakang. Senaman ini bagus untuk memanaskan badan dan juga untuk senaman kardiovaskular.

3. Tekan tubi

Ini mungkin langkah yang agak sukar dilakukan kebanyakan kita tetapi percayalah ia boleh menjadi cara yang sangat senang untuk melakukan tekan tubi. Anda juga boleh mencuba latihan ini dengan berdiri pada dinding. Anda akan membina kekuatan lengan juga membabitkan kawasan otot dan dada anda.

4. Naikkan kaki

Senaman ini bagus untuk menguatkan dan membina otot pada kaki. Sekiranya sukar untuk meluruskan kaki anda ke atas ketika berbaring, cuba bengkokkan sedikit. Ia pasti berhasil.

5. Lari setempat

Joging atau berlari setempat ternyata senaman yang bagus untuk kesihatan hati. Anda boleh melakukannya sambil menonton televisyen atau mendengar muzik di rumah.

6. Squat

Latihan ini baik untuk kaki dan punggung. Anda boleh mencuba dengan duduk dan berdiri semula dari kerusi tetap. Lakukan senaman ini untuk beberapa kali dan ia akan memberi manfaat kepada seluruh tubuh anda.

7. Tarian rancak

Menari, senaman yang sangat indah kerana ia juga bagus untuk kesihatan hati. Selain untuk kesihatan, menari juga boleh menaikkan semangat serta menggembirakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 9:41 PM