KUMPULAN Lite Superbowl lakar sejarah tersendiri.
KUMPULAN Lite Superbowl lakar sejarah tersendiri.
Izlaily Nurul Ain Hussein & Norazimah Narudin


Johor Bahru: Latihan setiap hari di gelanggang bowling majikan di Danga City Mall di sini, membolehkan kumpulan Lite Superbowl merangkul juara Kejohanan Bowling Best! Harian Metro di Sahara Bowl & Cafe, Angsana Johor Bahru Mall, semalam.

Kumpulan Lite Superbowl berjaya mengumpul 1,595 jatuhan pin mengalahkan naib johan Pemuda B (1,579 pin) diikuti Mr Big Family Bistro (1,533 pin).

Pasukan dibarisi Roslan Md Isa, 49, Mohd Haikal Downs, 30, dan Nurzul Mubarah Shrizat, 19, yang juga kakitangan Pusat Bowling Lite Superbowl mempamerkan aksi menarik dengan jatuhan pin konsisten sepanjang kejohanan.

Menurut Roslan, mereka tidak menyangka mampu muncul juara memandangkan semua peserta yang mengambil bahagian mempunyai kelebihan tersendiri termasuk mereka yang sering bermain di Sahara Bowl & Cafe.

“Kami sering mengambil bahagian dalam pertandingan bowling tapi tidak menyangka kali ini pasukan kami mampu muncul juara.

“Ini kerana bermain di pusat bowling lain mempunyai pelbagai cabaran selain berdepan pasukan berpengalama luas.

“Bagaimanapun, kami bersyukur atas kejayaan ini dan berharap dapat meraih pelbagai kemenangan lain pada masa depan,” katanya ketika ditemui selepas menerima hadiah, semalam.

Roslan berkata, pasukannya mengadakan latihan setiap hari dan bersedia 100 peratus dari segi mental dan fizikal sebelum kejohanan bermula.

Katanya, kemudahan yang ada di pusat bowling di tempat mereka bekerja menjadi satu kelebihan untuk mereka berlatih setiap hari dan membaiki segala kelemahan.

“Terdapat sedikit cabaran apabila kami perlu menyesuaikan diri dengan lorong yang tidak pernah kami cuba.

“Kami terpaksa belajar dan menyesuaikan diri bagaimana mahu membaling bola namun syukurlah, kami cepat mendapat rentak berbanding kumpulan lain,” katanya.

Menurutnya, kemenangan kali ini sedikit sebanyak mengharumkan nama Pusat Bowling Lite Superbowl di Danga City Mall.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 10:02 AM