HAMILTON (depan) mendahului Bottas pada sesi latihan bebas GP Australia, semalam.
HAMILTON (depan) mendahului Bottas pada sesi latihan bebas GP Australia, semalam.
AFP

Melbourne: Lewis Hamilton disanjung sebagai “berada dalam liga tersendiri” semalam apabila dia memecut meninggalkan pencabarnya pada sesi latihan bebas pembuka tirai tahun ini di Grand Prix Australia.

Juara dunia tiga kali itu menguasai saingan dan unggul lebih setengah saat berbanding pemandu Ferrari, Sebastian Vettel dan rakan sepasukan barunya di Mercedes, Valtteri Bottas pada sesi sebelah petang.

Hamilton dari Britain menyusuli catatan terbaik satu minit 24.220 saat pada sebelah pagi dengan catatan menakjubkan 1:23.620 pada lewat petang.

Ia menghampiri catatan rekod litar yang dipegang Vettel 1:23.529, dicatat bersama Red Bull ketika sesi kelayakan sebelum menang pada perlumbaan 2011.

“Hamilton dalam liganya sendiri ketika ini,” jelas bos pasukan Mercedes, Toto Wolff.

“Kepantasannya bagi catatan sepusingan amat bagus dan dia konsisten bagi 17 pusingan. Saya gembira.”

Ferrari dijangka menekan Hamilton dan pasukan Mercedes selepas masa menakjubkan ketika ujian pramusim, namun berdasarkan bukti menerusi dua sesi pertama, Hamilton sekali lagi tampil sebagai pemandu yang perlu ditewaskan pada perlumbaan esok.

“Saya terlalu gembira untuk kembali memandu kereta ini, terutama selepas hari pertama seperti ini. Ia 99 peratus sempurna,” kata Hamilton.

“Kami memperagakan persembahan bagus setakat ini dan catatan perbatuan juga memuaskan. Tayar bertindak terlalu bagus hari ini.

“Saya akan bekerja keras sekeras mungkin untuk memenangi perlumbaan ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2017 @ 11:12 AM