Aidy Syukri selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret. FOTO Zulkepli Osman
Aidy Syukri selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret. FOTO Zulkepli Osman
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Kuantan: Seorang Pengurus Perniagaan Takaful Malaysia Kuantan dijatuhi hukuman penjara empat tahun dua bulan serta tujuh sebatan di Mahkamah Majistret, di sini, selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menipu bayaran pampasan tuntutan insurans berjumlah RM805,000 pada 8 Mac lalu.

Tertuduh, Aidy Syukri Yahya, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Zaihan Mohamad.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan penipuan terhadap Takaful Malaysia Berhad dengan mendorong syarikat itu memindahkan wang tunai masing-masing berjumlah RM402,500 ke akaun Syarikat Tm Asset Management miliknya bagi mendapatkan tuntutan insurans kematian bagi Mohd Shafiee Ngah, 46, serta Norhazaimi Abd Wahab, 47.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di nombor 45 tingkat bawah Darul Takaful Jalan Teluk Sisek di sini pada 8 Mac lalu.

Dia melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum penjara 10 tahun serta sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, jumlah RM400,000 yang dituntut adalah untuk pampasan insurans kematian manakala RM2,500 untuk khairat kematian.

Mohd Shafiee dan Norhazaimi adalah pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer 116 Jalan Kuantan-Johor Bahru, dekat Rompin pada 22 Januari lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Noor Zaihan menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan dan tiga sebatan manakala penjara tiga tahun serta empat sebatan untuk pertuduhan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2017 @ 1:53 PM