IMMORTELLE, bunga emas yang mempunyai pelbagai kebaikan pada kulit.
IMMORTELLE, bunga emas yang mempunyai pelbagai kebaikan pada kulit.
PEKERJA memasukkan bunga Immortelle
PEKERJA memasukkan bunga Immortelle
LHOMMET (kanan) memberi taklimat kepada media yang mengikuti
LHOMMET (kanan) memberi taklimat kepada media yang mengikuti
Oleh Siti Zarinah Sahib

Perjalanan hampir 14 jam menuju Pulau Corsica yang terletak di timur laut Perancis bagaikan tidak terasa. Hembusan bayu segar tatkala suhu mencatatkan bacaan 22 darjah Celsius memberikan kedinginan mendamaikan.

Saat mata terpandang limpahan bunga kekuningan sambil bunganya tergoyang-goyang disapa angin lembut meninggalkan satu rasa yang sukar di-

luahkan. Ada kalanya muncul aroma lavender berseling-seli dengan bauan yang cukup menyegarkan.

Kunjungan wakil media atas jemputan produk kecantikan L'Occitane ke lereng bukit kepulauan Corsica yang menghadap Laut Mediterranean itu untuk menyaksikan keajaiban tumbuhan Immortelle atau digelar bunga emas yang terbukti bagus untuk meningkatkan tindakan antipenuaan.

Perjalanan ke ladang Immortelle atau nama saintifiknya helichrysum italicum itu mengambil masa 30 minit dari Hotel La Villa. Di kiri kanan jalan terdapat pelbagai tumbuhan terapeutik termasuk lavender, sayur-sayuran dan pertanian botani yang diusahakan penduduk secara kecil-kecilan.

Mata bagaikan terpaku dengan keindahan pemandangan semula jadi landskapnya seolah-olah lukisan menarik tanpa bingkai. Ditambah seni bina bangunan terdiri daripada struktur rumah ala kampung yang tetap mengekalkan keaslian menggunakan batu kuari dan terra cotta menyerlahkan keindahan bandar tipikal ini. Tidak hairan dengan kecintaan mereka terhadap alam sekitar serta hasil bumi menjadikan setiap tumbuhan yang ditanam hidup subur serta dijaga tahap keaslian dan semula jadinya.

Ketika kami mengunjungi ladang tumbuhan ajaib ini, ia baru saja dituai namun masih ada yang mekar dan menunggu masa untuk dipetik. Aroma Immortelle, bunga yang ditanam L'Occitane iaitu bahan utama dalam satu daripada jenama penjagaan kulit Perancis ini sangat kuat, baunya melayang-layang menusuk hidung.

Rangsang sel kulit

Tumbuhan yang asalnya hidup di hutan Mediterranean awalnya dijumpai kerana mempunyai bahan aktif yang dapat merangsang sel kulit wajah. Namun sekiranya Immortelle hanya diambil dari hutan, ia akan merendahkan struktur semula jadi dan mengurangkan kadar pertumbuhannya.

Jadi selepas beberapa penyelidikan, akhirnya L'Occitane mengambil keputusan membawakan tumbuhan ini bagi menjalani proses penanaman mengikut sistem yang sudah ditetapkan.

"Daripada penyelidikan saintis, kami menyedari pertumbuhan Immortelle sama dengan lavender. Justeru, kami cuba menanam menggunakan sistem sama dan ia sangat berfungsi," kata jurutera pertanian L'Occitane, Jean-Charles Lhommet.

Immortelle ini kemudian ditanam menggunakan kaedah organik untuk melindungi alam sekitar dan menggalakkan pertumbuhan biodiversiti. Benih Immortelle diambil daripada tumbuhan liar dan bukan daripada pokok yang sudah tumbuh bagi mengekalkan ciri organiknya.

"Bagi mengekalkan biodiversiti di kawasan itu, tumbuhan renek ditanam di kawasan sekitar yang memberi manfaat kepada Immortelle, sekali gus mengelak rumpai merosakkannya," kata Lhommet.

Sebagai pengiktirafan kepada usaha memelihara alam sekitar, L'Occitane menerima anugerah biodiversiti daripada Kementerian Tenaga dan Pembangunan Ekologi Perancis tahun lalu. Pada 2004, syarikat ini menubuhkan program perladangan Immortelle berskala besar di Corsica. Lapan penanam Immortelle terbabit dan mereka memilih untuk menggunakan kaedah pertanian organik.

Bermula dengan hanya 50 hektar Immortelle di rantau Balagne Corsica, kini menjadi 53 hektar dengan penuaian melebihi 100 tan bunga setiap tahun.

Tuai sekali setahun

Menurut Lhommet, keluasan tanaman satu hektar berjaya menghasilkan 3.5 tan bunga Immortelle, dengan hasil sebanyak tujuh kilogram (kg) minyak. Untuk itu, setiap petani menanam antara dua hingga 10 hektar Immortelle dengan kadar penuaian sekali setahun. Bagi menjaga keasliannya, bunga dituai dengan tangan.

"Satu tan Immortelle diperlukan untuk menghasilkan dua kilogram minyak, berbanding lavender yang mengeluarkan lapan kilogram minyak saja. Jadi, Immortelle lebih berharga berbanding lavender. Minyak pati pula diperoleh daripada batang dan kandungan paling kuat apabila bunga bertukar kuning. Namun, warnanya bertukar kuning hanya pada Jun dan dituai sekali setahun.

"Bunga ini juga tidak memerlukan rawatan atau baja kimia kerana ia tumbuh teguh dan lasak berasaskan tanah, air, matahari serta menggunakan baja daripada tahi kambing biri-biri," jelasnya.

Bagi mengelak rumpai tumbuh dan merosakkan pokok, petani menternak kambing biri-biri kerana kambing ini langsung tidak menyentuh Immortelle sebaliknya hanya makan rumpai saja. Ini dapat menjaga kelangsungan tumbuhan supaya tidak dicemari serangga perosak.

Untuk satu rangkaian pengeluaran yang lengkap dan bersepadu, petani bekerjasama dengan tiga syarikat pengeluar terkenal di Corsica. Kontrak perkongsian lima hingga tujuh tahun diberi kepada pengeluar bunga Immortelle bagi membekalkan bahan berbeza dan kini, ia mempunyai sembilan pengeluar Immortelle di Corsica.

Antaranya ialah Noelle Irolla dan Milou Corteggiani yang menjalankan proses penyulingan Immortelle selama 30 tahun. Bermula dengan penanaman tumbuhan aromatik ini pada 2008 sehingga hari ini, Irolla dan Milou antara pengeluar berpengalaman di Corsica.

Menurut Irolla, proses penyulingan bermula daripada bunga yang sudah dituai dan dimuatkan dalam dua tong tembaga. Kehadiran wap hasil daripada proses penyulingan melalui bahagian bawah tangki sehingga terhasil minyak pati daripada tumbuhan ini.

"Proses pemeluwapan ini akan menghasilkan air bunga dan minyak pati. Minyak akan terapung di atas permukaan air. Ia berwarna gelap kerana melalui proses penyulingan. Minyak ini kemudian ditapis untuk membuang sisa yang tidak diperlukan sebelum digunakan dalam produk kecantikan," jelas Irolla.

Kepekatan tinggi

Menurut Pengarah Saintifik Kumpulan L'Occitane Laure Pierrisnard, minyak pati Immortelle dari Corsica mempunyai kepekatan lebih tinggi, kaya neryl asetat serta molekul antipenuaan. Ini dibuktikan menerusi kajian ke atas wanita sebelum ia dilancarkan.

Oleh itu, Divine Cream jenama ini yang pertama kali dilancarkan pada 2009 menjadi produk terlaris syarikat serta mencatatkan perolehan lebih tinggi daripada krim tangan mentega shea.

Media yang berpeluang ke Pusat Inovasi L'Occitane cukup teruja melihatkan kesungguhan saintis menjalankan kajian mengenai produk rawatan wajah berasaskan bunga ini. Setiap produk diuji berkali-kali sehingga diluluskan untuk memasuki pasaran dunia.

"Kami melancarkan semula krim tahun lalu dengan formula baru untuk meningkatkan kesannya. Formula baru menggabungkan ciri-ciri antipenuaan Immortelle dengan tujuh bahan tumbuhan aktif yang lain," katanya.

Menurut Pierrisnard, minyak pati Immortelle sudah berzaman digunakan sebagai ramuan antipenuaan yang mujarab. Kira-kira satu tan bunga Immortelle digunakan untuk menghasilkan satu atau dua liter minyak pati.

"Untuk rangkaian Divine, kami menggabungkan dengan minyak pati Myrtle Organik bagi menguatkan ramuan antipenuaan, sekali gus memulih dan mengembalikan keremajaan kulit matang. Myrtle Organik adalah sejenis pokok renek berbunga putih nan harum yang tumbuh melata liar di hutan Pulau Corsica. Pokok ini mempunyai kuasa pemulihan semula jadi dan boleh hidup sehingga 300 tahun. Menurut legenda, pokok ini boleh tumbuh semula selepas dibakar.

"Satu lagi produk baru diperkenalkan tahun ini iaitu Divine Youth Oil yang menggabungkan tujuh minyak tumbuhan semula jadi dengan minyak pati Immortelle untuk antipenuaan dan membaiki kesan kedutan pada kulit.

"Ia melindungi kulit daripada tekanan alam sekitar dan kekeringan sambil melengkapkan rutin penjagaan kulit Immortelle Divine sedia ada," kata Pierrisnard.

Minyak ini dikatakan mempunyai tekstur lebih ringan serta mampu memasuki liang roma secara perlahan-lahan. Ia tidak berminyak dan sesuai untuk semua jenis kulit.

Divine Cream boleh dibeli pada harga RM469 manakala Divine Youth Oil berharga RM469. Kedua-duanya kini boleh diperoleh di semua kaunter L'Occitane di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 5:31 AM