AKUI silap percaturan apabila single Engkau Milikku kurang menjadi.
AKUI silap percaturan apabila single Engkau Milikku kurang menjadi.
Sudirman Mohd Tahir


Penyanyi terkenal, Datin Alyah Abu Hasan yang muncul dengan single Engkau Milikku tahun lalu tidak menafikan salah percaturan apabila lagu itu gagal mendapat tempat seperti karyanya yang lain.

Malah Alyah, 35, akui pelaburan berjumlah RM300,000 menerusi video muzik lagu itu yang menjalani penggambaran di Ladakh, India juga suatu kerugian besar.

“Memang benar ia tidak berbaloi dengan apa yang dilaburkan namun saya tidak menyesal. Saya belajar sesuatu untuk diri sendiri dan kerjaya nyanyian. Selama ini setiap single dan video muzik lagu saya hanya menggunakan duit sendiri.

“Saya sedar lagu Engkau Milikku belum boleh menandingi kekuatan single lain seperti Kisah Hati dan Sesal Separuh Nyawa. Bagaimanapun, saya menjadikannya satu pencapaian kerana tetap nekad menerbitkan video muzik di India,” katanya.

Disebabkan itu, tahun ini Alyah memasang strategi baru dengan melancarkan tiga lagu dalam waktu terdekat.

Lagu pertamanya berjudul Menunggu Bayangmu dipilih menjadi lagu tema drama Lara Cinta Ameena. Single kedua adalah duet bersama Farawahida berjudul Mengapa Harus Aku dan ketiga, Jutaan Purnama.

“Saya memang nak ‘all out’ dengan tiga lagu terus. Saya belajar daripada kesilapan tahun lalu apabila berhabis untuk satu lagu saja tapi hasilnya lambat dan tidak berjaya.

“Saya berharap antara tiga lagu ini biar ada sekurang-kurangnya satu yang boleh pergi jauh. Namun kalau semuanya berjaya saya sangat bersyukur!” ujarnya.

Berkongsi mengenai lagu Mengapa Harus Aku, single duet itu hasil ciptaan Alfie Alwi dan lirik oleh Alyah sendiri. Lagu ini bakal dipersembahkan secara eksklusif menerusi program Mentor Milenia, esok.

Sementara lagu Jutaan Purnama pula mendapat sentuhan tiga komposer iaitu Omar K, Hael dan Ezra Kong.

Bersikap profesional dengan suami

Bercakap mengenai pembikinan lagu, Alyah menegaskan selama ini dia tidak pernah terlintas menggunakan nama suaminya yang juga pengarah muzik ternama, Datuk Ramli MS sebagai jalan pintas untuk populariti.

Alyah akui kedudukan mereka sebagai suami isteri bukan pasport untuk berada dalam kedudukan selesa, sebaliknya dia lebih suka berdikari dengan sokongan moral Ramli.

“Kami hormati minat dan urusan kerja masing-masing. Saya tidak pernah mencampuri urusan kerja suami dan begitulah sebaliknya. Pendek kata kami bersikap profesional dan saya tidak mahu menyalahgunakan kedudukan itu.

“Cuma sesekali saya akan bertanyakan pendapat Ramli sekiranya mendapat lagu baru kerana dia lebih berpengalaman dalam soal muzik. Selebihnya saya akan buat sendiri dari A sampai Z,” jelasnya.

Selain itu jika memasuki pertandingan nyanyian dan lagu pula, dia melalui proses yang sama seperti orang lain walaupun secara kebetulan suami menjadi juri.

“Ia adalah perbincangan dan keputusan ramai juri dan saya tidak pernah masuk campur atau melobi. Dalam perkara ini saya sentiasa percaya kepada rezeki Allah SWT.

“Apa juga keputusan saya terima dengan hati terbuka. Saya tak pernah marah atau berkecil hati kalau gagal. Dari situ saya dapat belajar untuk memajukan diri,” katanya.

Namun Alyah rasa sangat bertuah apabila pertama kali dapat bekerjasama dengan Ramli menerusi lagu Menunggu Bayangmu.

“Menerusi lagu itu suami saya membantu dari segi susunan muzik. Tapi kerjasama itu berlaku enam tahun lalu iaitu sebelum kami berkahwin. Bagaimanapun, baru sekarang lagu itu siap dan akan dilancarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2017 @ 5:32 AM