Nursyahirah Marzuki


Cyberjaya: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melancarkan portal sebenarnya.my - portal pengesahan maklumat bagi membanteras penyebaran berita palsu yang semakin berleluasa kebelakangan ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, orang ramai boleh menyemak dan melaporkan berita yang diterima sama ada melalui media sosial, perkhidmatan mesej segera atau blog yang belum ditentukan kesahihannya di laman portal berkenaan.

"Masyarakat kini tidak boleh dipisahkan tanpa gajet dan banyak maklumat diterima melalui pelbagai aplikasi, namun ada berita yang diterima itu belum pasti kesahihannya.

"Oleh itu, kementerian dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mewujudkan portal bagi menangani penyebaran berita palsu," katanya selepas perasmian Majlis Pelancaran Portal sebenarnya.my di Ibu Pejabat SKMM di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi MCMC Datuk Seri Dr Halim Shafie, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Shahlan Ismail dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Salleh berkata, penubuhan portal yang membawa mesej 'Tidak Pasti, Jangan Kongsi' itu adalah salah satu usaha untuk memberi kemudahan kepada masyarakat merujuk mengenai berita yang membabitkan kepentingan awam serta perkara yang menyentuh keharmonian dan keselamatan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 12:13 PM