JANIN berusia 37 tahun yang dikeluarkan menerusi pembedahan ke atas Tun Nyak Tun.   - JPNN
JANIN berusia 37 tahun yang dikeluarkan menerusi pembedahan ke atas Tun Nyak Tun. - JPNN

Jambi: Seorang wanita berusia 60 tahun menjadi tumpuan kerana melahirkan bayi pada lanjut usia.

Bagaimanapun, yang lebih memeranjatkan, bayi yang dilahirkan itu keras seperti batu dan dikatakan berusia 37 tahun.

Wanita berkenaan Tun Nyak Tun dikatakan tidak pernah menyedari dia hamil sebelum ini.

Menurut anggota keluarganya, wanita itu sering mengadu sakit perut dan sukar untuk buang air besar tetapi tidak pernah berusaha mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, beberapa hari lalu, kerana tidak sanggup menahan sakit lagi, Tun meminta anaknya menghantarnya ke hospital.

“Dia sudah bertahun-tahun berdepan kesukaran untuk membuang air besar. Dia hanya mengeluh sahaja. Tidak ada usaha untuk berubat,” kata Dr Parianto yang mengetuai pembedahan ke atas Tun di Hospital Raden Mattaher.

Menurut Parianto, dia melakukan pemeriksaan ke atas Tun berulang kali, termasuk imbasan CT.

“Mulanya kami sangka ia ketumbuhan yang sudah keras di dalam perut pesakit. Benda keras itu yang seberat 1.5 kilogram kami keluarkan menerusi pembedahan selama dua setengah jam.

“Kami mengetuknya. Ia keras seperti batu. Untuk mengetahui lebih lanjut, kami gergaji benda itu. Kami menemui rambut. Dan hasil pemeriksaan selanjutnya, termasuk X-ray, sungguh mengejutkan. Ada kerangka lengkap manusia,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2017 @ 7:03 AM