PEMBANGUNAN diselarikan dengan seni bina landskap.
PEMBANGUNAN diselarikan dengan seni bina landskap.
IDEA penyelesaian landskap bandar yang menarik.
IDEA penyelesaian landskap bandar yang menarik.
RIADAH di taman yang sarat dengan keindahan semula jadi tentunya lebih memberikan makna.
RIADAH di taman yang sarat dengan keindahan semula jadi tentunya lebih memberikan makna.
REKA bentuk elemen landskap menambahkan kelainan saat bersantai.
REKA bentuk elemen landskap menambahkan kelainan saat bersantai.
Hartini Mohd Nawi


Perancangan menzahirkan Malaysia sebagai negara taman terindah menjelang 2020 antara mesej bermakna kepada masyarakat mengenai peri pentingnya meningkatkan kualiti kehidupan berasaskan seni bina landskap khususnya warga kota.

Dalam usaha menjayakan perancangan itu, profesion arkitek landskap dilihat memainkan peranan penting dalam memastikan hasrat itu terlaksana dengan jayanya.

Selepas 35 tahun, arkitek landskap juga antara yang berjuang memastikan setiap pembangunan dapat diimbangi dengan peruntukan kehijauan setimpal dan berkualiti, untuk kita serta generasi akan datang.

Menurut Presiden Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) Prof Madya Dr Osman Mohd Tahir, setiap arkitek landskap juga akan mengenal pasti, menganalisis dan menyelesaikan masalah melalui teknik reka bentuk berdasarkan pengetahuan berkenaan fungsi, karakter ‘estetik’ sesuatu bahan, pengorganisasian elemen luaran, ruang persekitaran serta aktiviti setempat.

“Seorang arkitek landskap berdaftar pula biasanya menawarkan perundingan berkenaan perkhidmatan kesenibinaan merangkumi pelbagai aspek.

“Ia bermula dengan penyediaan pelan dan laporan perancangan landskap termasuk pelan induk landskap.

“Malah turut menjalankan khidmat penilaian dan kajian landskap dari visual, pentaksiran pokok hingga karakter landskap.

Begitu juga dengan penyediaan pelan pengurusan dan penyelenggaraan landskap semuanya tersenarai dalam khidmat arkitek landskap,” katanya.

Memperkatakan berkenaan sambutan Hari Landskap Negara dan Bulan Senibina Landskap Sedunia tahun ini juga dilihat lebih bermakna apabila semua pihak peka dengan kepentingan persekitaran berkualiti.

“Hari Landskap Negara biasanya disambut setiap 3 Mac, sementara di peringkat antarabangsa pula ialah Bulan Seni bina Landskap Sedunia yang diraikan setiap April.

“Oleh itu, melihat kesinambungan Malaysia negara taman terindah menjelang 2020, landskap di sekitar kita perlu ada kelebihan tersendiri.

“Landskap adalah terjemahan semua sudut yakni untuk pendidikan, komuniti, memupuk kekeluargaan, kesinambungan bandar, riadah dan persahabatan,” katanya yang juga Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

Selari dengan kelebihan itu, ia meletakkan kita sebagai masyarakat yang terus berbangga kerana dapat menikmati kehidupan lebih selesa dengan persekitaran hijau.

Dalam konteks yang lebih luas, keindahan dan keselesaan itu perlu digabungkan supaya dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Selain itu ia disesuaikan dengan persekitaran dunia yang tidak menentu dengan perubahan iklim mendadak dan pemanasan global semakin ketara.

Sekali gus memberi peluang kepada masyarakat untuk menikmati dan mengecapi kualiti kehidupan dengan mengimbangi pembangunan dengan pemeliharaan alam semula jadi.

Setiap tahun juga, ILAM menganjurkan Malaysia Landscape Architecture Awards (MLAA) sebagai mengiktiraf semua yang terbabit dalam dunia seni bina landskap sama ada dalam atau luar negara.

Menariknya anugerah itu menerima penyertaan pelbagai pihak termasuk arkitek landskap profesional, kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, pemaju hartanah, kontraktor landskap, penyelidik dan pelajar seni bina landskap di peringkat pengajian tinggi.

“ILAM juga berbangga kerana MLAA itu turut diiktiraf Persekutuan Antarabangsa Arkitek Landskap (IFLA),” katanya yang mengakui MLAA sudah memasuki tahun kesembilan penganjurannya.

“Sambutan tahun ini dilihat sangat menggalakkan dengan menyenaraikan 145 penyertaan dan perkembangan positif itu membuktikan meningkatnya kesedaran kepentingan seni bina landskap untuk persekitaran dan kehidupan,” katanya yang memaklumkan MLAA bakal diadakan April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2017 @ 5:05 AM