PELAJAR Sekolah Raja Perempuan Taayah memakai topeng muka bagi megelak dijangkiti Influenza. FOTO Effendi Rashid
PELAJAR Sekolah Raja Perempuan Taayah memakai topeng muka bagi megelak dijangkiti Influenza. FOTO Effendi Rashid
Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Seramai 216 pelajar di tiga sekolah di negeri ini disahkan menghidap Influenza A (H3) atau selesema bermusim.

Ia membabitkan 129 pelajar di Sekolah Raja Perempuan Taayah, 84 pelajar di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) dan tiga pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Klebang.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, hari ini.

Hang Soon yang ditemui selepas melawat Sekolah Raja Perempuan Taayah dan STAR berkata, kesemua pelajar ini kini diasingkan daripada pelajar lain dari segi semua aspek seperti tempat tidur, makan dan lain-lain.

Katanya, kesemua pelajar ini menghidap gejala utama Influenza seperti demam, sakit tekak, batuk, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi, kelesuan dan selesema.

"Di Sekolah Raja Perempuan Taayah, simptom ini dipercayai bermula Sabtu lalu selepas tiga pelajar menghidap demam sebelum semakin ramai pelajar menghidap simptom sama manakala di STAR bermula Isnin lalu dan SK Klebang dikesan hari ini.

"Enam sampel dari Sekolah Raja Perempuan Taayah serta enam sampel dari STAR diambil dan ia sah Influenza (H3) atau selesema bermusim dan bukannya H1N1 seperti disebarkan sehingga mencetuskan panik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 1:01 PM