HASAN (tengah) harap pemain negara raih keputusan positif menentang Filipina dan Korea Utara.
HASAN (tengah) harap pemain negara raih keputusan positif menentang Filipina dan Korea Utara.
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaysia mendapat tonik tambahan menjelang dua aksi penting - berdepan Filipina dan Korea Utara - apabila naik satu anak tangga dalam ranking terbaru FIFA semalam.

Walaupun tidak beraksi hampir tiga bulan dengan kali terakhir bersaingan dalam kancah Piala AFF yang menyaksikan anak buah Datuk Ong Kim Swee terkandas di peringkat kumpulan, mereka berjaya memperbaiki satu tangga ke kedudukan 161 berbanding 162, bulan lalu.

Penolong jurulatih negara, Hassan Sazali Waras berkata, peningkatan itu setidak-tidaknya dapat memberi semangat baru kepada pemain apabila melaporkan diri Isnin ini sebagai persediaan dua aksi penting berkenaan.

“Peningkatan satu tangga memang baik menjelang aksi bertemu Filipina dan Korea Utara yang sedikit sebanyak meningkatkan motivasi pemain.

“Saya harap pemain akan terus berusaha meraih keputusan positif biarpun kedua-dua pasukan yang kita akan tentang nanti mempunyai ranking lebih tinggi,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Kedudukan terkini itu meletakkan skuad kebangsaan sebaris dengan beberapa pasukan seperti Moldova (162), Singapura (163), Kosovo (164), Kuwait (165) dan Indonesia (167).

Dalam kalangan negara Asia Tenggara pula, Malaysia turut kekal di tangga keempat di belakang Filipina (124), Thailand (127) dan Vietnam (136).

Bekas juara Piala Dunia sebanyak dua kali, Argentina mengekalkan status pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,644 mata manakala Brazil tangga kedua (1,534).

Juara bertahan Piala Dunia, Jerman ketiga (1,443).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 8:25 AM