Hew Chai Kee, 87, menunjukkan gambar yang dilukis oleh Datuk Lat khas buat mendiang isterinya,Lee Siew San. FOTO MUHAMAD IZZAT NASURUDEN
Hew Chai Kee, 87, menunjukkan gambar yang dilukis oleh Datuk Lat khas buat mendiang isterinya,Lee Siew San. FOTO MUHAMAD IZZAT NASURUDEN
Muhamad Izzat Nasuruden

Ipoh: Bekas guru Datuk Lat, Lee Siew San,80, atau lebih dikenali sebagai Mrs Hew yang ditampilkan dalam watak kartun dan animasi Kampung Boy meninggal dunia di rumahnya di Taman Canning, di sini, 1.30 pagi hari ini.

Lat atau nama sebenarnya Mohd Nor Khalid, 65, menggunakan watak gurunya itu yang garang namun bersikap baik hati dengan imej bercermin mata ala 60-an dan fesyen rambut sarang lebah sanggul tinggi dalam hasil karyanya.

Pemergian bekas gurunya itu disahkan Lat selepas dimaklumkan oleh suami mendiang, Hew Chai Kee,87, kepadanya hari ini.

Lat berkata, dia terkejut dan sedih menerima berita kematian mendiang yang juga dipanggil 'Cikgu Moira' dan mengucapkan takziah kepada keluarganya.

Menurutnya, mendiang adalah individu yang mengajarnya dan pelajar lain dari kawasan kampung membaca, menulis dan bercakap bahasa Inggeris hanya dalam tempoh dua tahun ketika mereka di darjah empat dan lima di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (English) di Jalan Pasir Putih, di sini,pada 1962 dan 1963.

"Saya mula melukis karektor Mrs Hew pada 1970an namun rupa sebenarnya bukan seperti yang saya lukis, saya lukis begitu kerana mahu tampilkan sifatnya yang garang tetapi sebenarnya lebih cantik dan seorang yang baik walaupun amat garang.

"Sebenarnya, ketika hayat mendiang juga bangga, dia ada beritahu kepada orang lain bahawa orang itu (karektor Mrs Hew) adalah dirinya dan maklumkan dilukis bekas anak muridnya.," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 10:19 PM