GAMBAR diambil daripada video disiarkan KRT semalam menunjukkan empat peluru berpandu dilepaskan Korea Utara di lokasi yang tidak dinyatakan. Pyongyang melepaskan empat tembakan sebagai memprotes latihan tentera Amerika Syarikat dengan Korea Selatan yang dianggap persediaan melancarkan serangan. - AP

AFP

Seoul: Korea Utara melancarkan peluru berpandu sebagai latihan untuk menyerang pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Jepun, dalam pada kecaman global ke atas rejim itu semakin memuncak.

Tiga daripada empat peluru berpandu itu yang dilepaskan pada Isnin lalu jatuh berhampiran Jepun, di kawasan perairan yang sebahagian daripadanya zon ekonomi eksklusif. Langkah itu dilihat sebagai mencabar Presiden AS Donald Trump.

Rumah Putih dalam satu kenyataan berkata, AS memberi amaran bahawa Pyongyang akan menerima akibat daripada tindakannya itu.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dijangka mengadakan mesyuarat tergempar hari ini selepas diminta AS dan Jepun untuk membincangkan tindakan susulan berikutan kejadian itu.

Mengikut resolusi PBB, Pyongyang dilarang menggunakan teknologi peluru berpandu balistik.

Duta AS ke PBB Nikki Haley dalam Twitternya berkata, dunia tidak akan membenarkan Korea Utara meneruskan ‘jalan yang membinasakan itu.’

Namun, enam sekatan PBB sejak ujian nuklear pertamanya pada 2006 gagal menghentikan usaha Korea Utara menghasilkan peluru berpandu yang menurutnya digunakan sebagai senjata pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 7:37 AM