KOMBINASI konsep 'Collector' dan minimalis jadikan ruang lebih luas serta ringkas.
KOMBINASI konsep 'Collector' dan minimalis jadikan ruang lebih luas serta ringkas.
ANTARA koleksi Hot Wheels yang dipamer di sudut khas.
ANTARA koleksi Hot Wheels yang dipamer di sudut khas.
SHAIFUL bersama koleksi Hot Wheels di ruang tamu rumahnya.
SHAIFUL bersama koleksi Hot Wheels di ruang tamu rumahnya.
IDEA penggemar Hot Wheels wujudkan ruang khas dengan himpunan tersendiri.
IDEA penggemar Hot Wheels wujudkan ruang khas dengan himpunan tersendiri.
Shuhada Mansor

Enam tahun menjadikan hobi mengumpul Hot Wheels atau kereta bersaiz mini secara serius, Shaiful Effendy Mohd Isa, 30, berasakan minatnya itu sebagai satu terapi.

Kesungguhan dalam menjaga koleksinya itu membuatkan dia terdetik dengan idea untuk mendekorasi ruang kediaman rumah dengan setiap model kereta dimiliknya.

Katanya, jika dulu dia hanya menyimpan dalam kotak dan ditempatkan di stor, kini selepas menjual lebih separuh daripada koleksi yang ada, dia mampu mempamerkan di ruang tamu dengan menciptakan sudut khas tersendiri.

RAK LUT SINAR LEBIH MENYERLAH

“Dalam koleksi sekarang, saya ada kira-kira 300 unit berbanding lebih daripada 1,000 model sebelum ini. Sebab tak mahu nampak terlalu padat, saya kurangkan skop (casting) sehingga membolehkan saya pamer kesemuanya.

“Bagi pengumpul khususnya peminat Hot Wheels, kami akan tahu apa yang terbaik dalam menjaga keadaan kereta. Saya sendiri menggunakan rak akrilik yang ditempah khas daripada rakan ‘collector’ lain. Dia ada buat ‘custom rack’ ikut cita rasa pelanggan,” katanya.

Untuk harga, berdasarkan saiz dan ciri yang dikehendaki, harga bermula serendah RM100 hingga RM500 bergantung pada permintaan.

“Selalunya, kami akan memilih rak lut sinar untuk menaikkan lagi warna-warni deretan kereta yang dipamerkan. Ia nampak lebih menyerlah. Bagi ruang tamu rumah saya, kos penyediaan dilaburkan antara RM700 hingga RM800 keseluruhan,” katanya.

PILIH KONSEP

“Kebanyakan idea sama ada cara susunan, warna atau apa saja, saya rujuk mereka yang lebih lama dalam bidang ini.

“Awalnya saya ingin ketengahkan konsep minimalis, iaitu lebihkan ruang namun disebabkan jumlah Hot Wheels yang agak banyak, saya pilih konsep ‘collector’. Maksudnya, setiap sudut boleh menampakkan koleksi mainan. Namun saya tetap tekankan asas minimum iaitu kurangkan perabot,” katanya.

Ditanya apa persepsi tetamu datang ke rumahnya, Shaiful berkata, kebanyakannya teruja dan ramai yang kagum apabila melihat dia berjaya menyusun ratusan Hot Wheels dengan teratur serta kemas.

“Biasanya kita tahu rumah akan selalu digayakan dengan konsep ‘tipikal’, tapi bagi saya ia bergantung kepada individu. Kebanyakan ‘collector’ macam saya lebih senang jika setiap hari kami boleh lihat koleksi sendiri tanpa perlu ke stor atau ke bilik tetentu. Ini membuatkan saya lebih selesa dan secara tak langsung jadikan ruang sendiri berbeza daripada orang lain.

“Tak kisahlah apa minat anda, tetapi jika anda tahu bagaimana untuk gayakan cara yang ringkas dan kemas, pasti ia jadi menarik dan boleh beri inspirasi kepada orang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 5:03 AM