PENDUDUK Palestin, Taghrid Abo-Maialeh menyelongkar runtuhan rumahnya berhampiran Hebron, Tebing Barat, selepas ia dirobohkan pihak berkuasa Israel.  Rejim itu berkata, tindakan merobohkan kediaman Taghrid dan beberapa penduduk lain dilakukan kerana bangunan itu dibina tanpa permit.  - EPA
PENDUDUK Palestin, Taghrid Abo-Maialeh menyelongkar runtuhan rumahnya berhampiran Hebron, Tebing Barat, selepas ia dirobohkan pihak berkuasa Israel. Rejim itu berkata, tindakan merobohkan kediaman Taghrid dan beberapa penduduk lain dilakukan kerana bangunan itu dibina tanpa permit. - EPA
Agensi

Baitulmaqdis: Menteri Pertahanan Israel Avigdor Lieberman berkata semalam, Amerika Syarikat memberi amaran tindakan meletakkan Tebing Barat di bawah kedaulatan rejim itu akan membawa kepada ‘krisis serta-merta’ dengan pentadbiran Presiden Donald Trump.

Lieberman berusaha untuk menolak desakan anggota dalam parti campuran Perdana Menteri Benjamin Netanyahu supaya Israel mengisytiharkan hak kedaulatan terhadap semua atau sebahagian wilayah Palestin yang dijajahnya.

Katanya, tindakan meletakkan wilayah Palestin dibawah kedaulatan Israel akan mencetuskan krisis dengan Washington dan meningkatkan kos rejim itu memandangkan ia perlu menyediakan perkhidmatan kepada penduduk Palestin di Tebing Barat.

“Kita menerima mesej jelas dan secara langsung daripada Amerika Syarikat yang menyatakan, penguatkuasaan undang-undang Israel di Judea dan Samaria (Tebing Barat) akan mencetuskan krisis secara langsung dengan pentadbiran baru negara itu,” kata Lieberman kepada jawatankuasa Parlimen mengenai keselamatan dan hal ehwal luar.

Kira-kira 2.6 juta rakyat Palestin tinggal di Tebing Barat yang dijajah Israel pada 1967.

Gesaan terbaru supaya Te bing Barat diletakkan di bawah kedaulatan Israel dibuat oleh Miki Zohar, anggota Parlimen dari Parti Likud yang diketuai Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Dalam satu wawancara televisyen, Zohar menolak penubuhan negara Palestin, sebaliknya mahukan wilayah Palestin diletakkan dibawah Israel dengan penduduknya diberikan kewarganegaraan tanpa hak untuk mengundi dalam pilihan raya.

Dalam kenyataannya semalam, Lieberman juga berkata, tindakan meletakkan Tebing Barat di bawah kedaulatan negara itu akan menyebabkan Israel perlu berbelanja 20 bilion shekel (RM24 bilion) bagi menyediakan pelbagai khidmat sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 8:59 AM