Anggota bomba memotong pokok kelapa yang menghempap mangsa. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba memotong pokok kelapa yang menghempap mangsa. FOTO ihsan bomba
Mohd Shukor Amin


Sabak Bernam: Seorang lelaki maut dihempap pokok kelapa ketika menunggang basikal di Jalan Haji Sabri Sungai Tengah, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 12.49 tengah hari itu, Abdul Latif Md Nor, 58, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, seramai lapan anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

"Mangsa sedang menunggang basikal dipercayai dihempap sebatang pokok kelapa yang tiba-tiba tumbang.

"Anggota bomba mengeluarkan mangsa dengan memotong dan mengalihkan pokok berkenaan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2017 @ 3:55 PM