LIZA Abdullah.
LIZA Abdullah.
NORMADIAH dan Aziz jadi contoh keapda Liza dalam lakonan.
NORMADIAH dan Aziz jadi contoh keapda Liza dalam lakonan.
Rudy Imran Shamsudin

Mula dikenali sebagai penyanyi pada 1984 tetapi kini nama Liza Abdullah lebih dikenali sebagai pelakon sejak membintangi filem Ali Setan bersama Azmil Mustapha dan Fauziah Ahmad Daud pada 1985.

Sering menjayakan filem komedi seperti Pagar-pagar Cinta bersama AR Badul dan Jejaka Perasan bersama Salih Yaacob, hingga kini Liza tidak pernah berhenti daripada berlakon.

Malah semakin meningkat usia, mutu lakonan dipersembahkan sungguh memberangsangkan. Pada usia 54 tahun, lakonan yang dipersembahkan Liza masih relevan hingga sekarang.

Wataknya sebagai Mak Leha dalam drama 7 Hari Mencintaiku terus menjadi sebutan sampaikan ada anak remaja bertemunya memanggilnya dengan nama watak yang dibawa dalam drama yang turut dijayajab Siti Saleha dan Shukri Yahaya itu.

Bercerita mengenai pencapaian sebagai seniwati sepanjang zaman, Liza yang temui baru-baru ini mengakui pengaruh bintang lama menjadi pujaannya sejak dulu dan kebagusan mereka dalam melaksanakan tugas banyak membantu membentuknya untuk menjadi seperti mana dia hari ini.

Katanya, sebaik menceburi dunia lakonan pada awal 1980-an, dia memang menjadikan pelakon lama seperti Allahyarham Normadiah dan Siput Sarawak sebagai contoh.

“Kerana merekalah saya menyimpan cita-cita untuk menjadi pelakon dan sangat mengidolakan mereka. Saya bertuah kerana sempat bertemu dengan kedua-dua pelakon pujaan saya itu tetapi malangnya tidak berpeluang untuk bekerja bersama,” katanya.

Liza akui, pelakon sekarang tidak sama dengan bintang filem zaman dulu. Katanya, mereka sangat menjaga keperibadian apabila berada di hadapan umum.

“Mereka juga tidak bercampur dengan sebarangan dan biasanya memang bercampur sesama mereka. Kalau orang kata pelakon dulu dipandang tinggi, itu memang benar sebab untuk berjumpa dengan mereka tidak mudah, kecuali sekiranya kita dapat bekerja di sisi mereka,” katanya.

Kata Liza, dia sangat mengagumi bakat serba boleh Normadiah yang juga ibu kepada penyanyi berbakat besar, Liza dan Azlina Aziz.

“Seronoknya saya apabila tidak saja dapat bertemu dengan Allahyarhamah Normadiah juga seisi keluarganya. Peluang itu di peroleh kerana saya banyak bekerja dengan Allahyarham Bad Latiff pada awal pembabitan saya dalam dunia lakonan.

“Kebetulan arwah Bad Latiff memang baik dengan keluarga Allahyarham Aziz Jaafar kerana pernah bekerjasama dalam filem Batu Belah Batu Bertangkup dan selalu bertemu mereka.

“Selepas mendapat tahu saya meminati Normadiah dan Aziz Jaafar, Bad Latiff membawa saya bertemu mereka,” katanya.

Apapun, Liza berkata tidak mudah peluang itu diperolehnya walaupun beberapa kali dia memujuk Bad Latiff membawanya bertemu dengan Normadiah dan Aziz Jaafar.

“Bad Latiff harus meminta kebenaran mereka dahulu sebelum membawa saya bertemu mereka. Bayangkan sampai begitu mereka menjaga.

“Apabila saya sampai dan bertemu dengan Normadiah dan Aziz Jaafar, saya lihat pasangan ini bersiap kemas. Malah saya difahamkan oleh anak-anaknya yang ayah mereka juga bersiap dan menyembur rambut agar nampak kemas dan segak apabila bertemu dengan tetamu,” katanya.

Menerusi pertemuan pertama itu, Liza melihat sendiri bagaimana bintang lama sangat menjaga keperibadian dan penampilan walaupun mahu bertemu tetamu yang mahu bertandang ke rumah.

Nyata ia bukan pertemuan pertama dan terakhir sebaliknya Bad Latiff kerap membawanya bertemu mereka. Setiap kali pertemuan, banyak cerita mereka kongsikan secara tidak langsung mereka menurunkan ilmu.

“ Saya berasa bertuah kerana peluang itu diberikan kepada saya. Ibaratnya saya juga memperoleh ilmu secara tidak formal daripada dua bintang terkenal itu dan saya anggap sebagai khazanah seni negara,” katanya.

Kata Liza, dia percaya bakat lakonannya yang dilihat bagus pada hari ini adalah berkat tunjuk ajar daripada beberapa pelakon lama lain yang dia berpeluang bekerjasama dalam rancangan TV mahupun filem seperti Ghazali Sumantri, AK Jailani, Ibrahim Din, Minah Yem dan Noraini Moorthy.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2017 @ 5:05 AM