SUSPEK diberkas bersama kayu belian disyaki dicuri. FOTO ihsan Polis
SUSPEK diberkas bersama kayu belian disyaki dicuri. FOTO ihsan Polis
Hazsyah Abdul Rahman


Tawau : Dua lelaki dicekup bersama kayu belian disyaki dicuri di Batu 6 1/2, Jalan Apas, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.15 malam itu, suspek warga asing berusia 30 dan 45 tahun ditahan bersama tiga batang kayu belian yang dimuatkan dalam lori di jalan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, selepas menerima maklumat berhubung kejadian curi pada 3.30 petang, sepasukan anggota dikerahkan menjalankan operasi mengesan suspek.

"Kira-kira lima jam kemudian, dua suspek terbabit dicekup bersama tiga batang kayu belian yang dilaporkan hilang.

"Suspek, kayu dan lori berkenaan kemudiannya dibawah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fadil berkata, nilai kayu berkenaan dianggarkan sejumlah RM1,500 dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 4:13 PM