Norasikin Daineh

Beaufort: Jenazah tiga beranak yang terbabit dalam kejadian van dirempuh kereta api, semalam, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan Kampung Muhibbah, di sini, jam 2 petang tadi.

Jenazah Majinon Matunjung, 78, isteri, Noorlela Roslan, 42, dan anak mereka, Lestery, 17, dibawa dari Hospital Beaufort ke Masjid Pekan Beaufort untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan.

Kira-kira 100 ahli keluarga dan rakan hadir dalam majlis pengebumian itu.

Dalam kejadian jam 2.40 petang semalam, van dinaiki tujuh sekeluarga dirempuh sebuah kereta api yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Beaufort.

Akibat kejadian itu, tiga beranak itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat lagi terselamat.

Mangsa yang selamat dikenali sebagai Lamisah, 13, dan kakaknya, Missah, 15, bersama kakak ipar mereka, Sufiena Razali, 22, dengan anaknya, Siti Nurfahana Fredy, 20 bulan, masih menerima rawatan di Hospital Beaufort serta dilaporkan dalam keadaan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 6:05 PM
Missah Majinon, 15, bersama abangnya, Lasferdy Majinon, 20, (tiga kanan) menyiram air mawar ke kubur bapa, ibu dan kakak yang terkorban dalam kemalangan membabitkan kereta api dan van di Kampung Memanjang Beaufort, petang semalam. FOTO Edmund Samunting