TENGKU Tajuddin (kanan) terkejut dipanggil sarung jersi kebangsaan.
TENGKU Tajuddin (kanan) terkejut dipanggil sarung jersi kebangsaan.
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Penyerang negara Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil akan menggunakan segala pengalamannya untuk membantu skuad hoki negara pada Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, Bangladesh dari 4 hingga 12 Mac ini.

Mengakui terkejut apabila dipanggil semula ke dalam skuad negara untuk kejohanan itu, pemain yang hampir dua tahun tidak beraksi di pentas antarabangsa itu berjanji untuk membalas semula kepercayaan diberikan ketua jurulatih Stephen Van Huizen kepadanya.

“Sebelum ini memang saya menjalani latihan bersama skuad kebangsaan tapi saya agak terkejut juga bila pasukan memerlukan saya dalam tempoh terdekat ini.

“Tapi jurulatih sudah maklumkan kepada saya supaya bersedia saja.

“Apa yang saya boleh lakukan kali ini ialah menggunakan segala pengalaman saya selama ini untuk membantu skuad kebangsaan,” ujarnya.

Tengku Tajuddin berkata, dia mengakui memerlukan masa untuk mencapai prestasi sebenar kerana sudah lama tidak beraksi di pentas antarabangsa.

“Saya dipanggil untuk menjalani latihan bersama skuad negara sebelum ini pun sebab utama adalah untuk mendapatkan tahap kecergasan semula.”

Kali terakhir Tengku membuat penampilan bersama skuad kebangsaan adalah pada Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium dua tahun lalu.

Pada saingan di Dhaka, skuad negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama Oman, Fiji dan tuan rumah. Ia sebahagian daripada kempen kelayakan ke Piala Dunia 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 7:47 AM