FAZURA. FOTO Mahzir Mat Isa
FAZURA. FOTO Mahzir Mat Isa
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon popular Fazura menafikan ada melahirkan perasaan bimbang untuk menggantikan tempat Neelofa kepada pengarah Michael Ang menerusi drama terbaru arahan pengarah itu berjudul Hero Seorang Cinderella (HSC).

Fazura menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pihak Universal Music Malaysia berkata, dia sebagai pelakon profesional terbuka menerima setiap tawaran.

"Perkara itu tidak benar. Saya tidak pernah melahirkan rasa bimbang untuk mengambil watak yang ditawarkan.

"Sada dari segi profesional ataupun berkaitan dengan sambutan peminat seperti yang didakwa," katanya.

Pada masa sama, pihak Universal Music tidak menafikan pihak pengurusan Fazura ada bertemu dengan pengarah itu dan pihak Astro untuk membincangkan tawaran yang diberikan.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia dan Singapura, Kenny Ong berkata pihaknya mahupun Fazura belum memberi sebarang kata putus.

"Memandangkan Fazura kini bernaung di bawah syarikat Universal Music Malaysia, kami berhak menentukan kesediaannya untuk menerima sesebuah tawaran.

"Kami memang mahu mempertimbangkan tawaran itu selepas pertemuan rasmi dengan Michael dan Astro.

"Sebagai anak seni yang profesional, apa yang penting adalah tanggungjawab yang diberikan dilunaskan dengan baik," katanya.

Sementara itu, Michael ketika dihubungi memohon maaf sekiranya kenyataan sebelum ini menimbulkan salah faham dan perdebatan di kalangan peminat.

"Saya bercakap secara keseluruhan. Kesemua pelakon yang saya hubungi tak takut nak menjayakan watak utama itu, tapi sekadar melahirkan rasa bimbang terhadap penerimaan peminat kelak.

"Saya berharap perkara ini tak perlu diperbesarkan lagi. Saya tak nak timbul masalah lain pula.

"Apa saya boleh katakan, siapa pun heroin yang bergandingan dengan Fattah nanti dia adalah pilihan yang paling sesuai untuk watak itu," katanya.

Terdahulu pengarah drama Suri Hati Mr Pilot itu mengakui 'merisik' beberapa pelakon seperti Janna Nick, Emma Maembong, Fazura dan Fathia bagi menjayakan watak utama drama yang bakal menjalani penggambaran Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2017 @ 8:07 PM